Dahulu… sejak tahun 2003 lagi, Atok dan Wan memang biasa ulang-alik dari Telok Panglima Garang balik ke rumah kami di Senawang. Kalau siang, kami jarang sangat ikut hiway. Selalunya Atok pilih jalan lama — TPG, Sungai Manggis, Olak Lempit, Dengkil, Nilai terus ke Seremban. Selain nak berjimat tol, jalan itu terasa lebih dekat dan kurang sesak berbanding lebuh raya Utara-Selatan. Cuma kalau malam, lain cerita. Atok memang takut lalu jalan lama itu. Gelap gelita, sunyi pula. Kalau kereta rosak tengah-tengah jalan, memang haru jawabnya.
Sepanjang perjalanan itu, satu nama yang selalu menarik perhatian kami ialah papan tanda “Kampung Olak Lempit”. Anak-anak masa kecil dulu selalu bertanya, “Abah… apa maksud Olak Lempit?” Atok pun tergaru kepala juga. Tak tahu nak jawab apa. Mulalah keluar macam-macam teka-teki. Ada yang kata mungkin nama itu asal daripada “Olimpik”. Ada pula yang sengaja menyakat, “Mungkin dulu orang sini kuat bersukan kot!” Hahaha… satu kereta gelak.
Dulu kawasan Olak Lempit ini tidaklah semeriah sekarang. Jalannya sempit, bahu jalan kecil, tetapi lori berat memang terlalu banyak. Lori balak, lori pasir, lori kilang… siang malam keluar masuk. Sebab itu jalan ini selalu berlaku kemalangan. Orang luar pun tak ramai yang lalu sini kecuali mereka yang nak berjimat tol atau memang biasa guna jalan pintas ke Seremban dan kawasan selatan.
Tetapi masa bergerak pantas. Tengok-tengok sekarang sudah tahun 2026. Lebuh raya WCE pula sudah siap berhampiran kawasan ini. Bandar-bandar baharu seperti Brooklands dan Mahkota naik satu demi satu. Kawasan yang dahulu sunyi dan penuh kebun kini dipenuhi kilang, gudang dan taman perumahan moden. Dulu Atok nampak muka-muka orang Jawa, Melayu dan Cina sahaja di warung atau kedai kopi tepi jalan. Sekarang sudah bercampur dengan pekerja Indonesia, Myanmar, Nepal dan Bangladesh. Dunia berubah depan mata.
Kadang-kadang bila lalu semula jalan lama itu, Atok rasa macam sedang melihat dua zaman yang berbeza. Satu zaman kampung tradisional yang perlahan dan penuh hutan dan kebun kelapa sawit. Satu lagi zaman moden yang dipenuhi lori kontena, kilang dan pembangunan tanpa henti. Namun di sebalik semua perubahan itu, nama “Olak Lempit” tetap kekal unik — terus membuat orang tertanya-tanya dan terus hidup dalam ingatan mereka yang pernah melalui jalan lama Kuala Langat itu. Korang bacalah entri Atok tentang kampung ini...hebat orang-orangnya!
Sila tekan link di bawah untuk pembacaan seterusnya
https://syedalsagaff64.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan