Khamis, 27 November 2025

Menariknya Sejarah Mantin

Salam buat semua. Atok harap semuanya sihat walafiat. Atok dan Wan alhamdulillah.Sihat-sihat belaka.Minggu ini Kami tak ke mana-mana, duduk ontok-ontok jer kat rumah di Seremban. Minggu  depan Atok rancang nak ke Mantin, ziarah anak saudara kat sana. Pagi Ahad nanti, kami rancang nak bekfes kat Pasar Tani Beranang, tak jauh dari Mantin tapi dalam Selangor. Best pasar paginya. Tak jauh pun, depan masjid Beranang jer. Rasa-rasa Atok dah 2,3 kali kami ke sana. Kuih muihnya memang original Minang. Sodap bona. Kalau nak cari anak benih pokok buah-buahan singgahlah ke pasar pagi ini. Macam-macam ada. Hari Minggu memang happening kat sini. Spendlah dua, tiga jam kat sini sambil bermesra dengan penduduk tempatan. Beranang ini unik sikit. Kedudukannya di negeri Selangor, tapi suasananya macam kampung-kampung kat Pilah atau Rembau. Macam tak kena jer dalam Selangor yang 'bustling' dengan hiruk pikuk kota. Patutlah diorang panggil Beranang, " The Sleepy Hollow of Selangor".

Berbalik cerita kita ke Mantin tadi. Mantin ini bukanlah asing bagi Atok. Saudara mara Atok ramai kat sini suatu masa dahulu. Kenapa Atok cakap begitu? Pasalnya mereka dah berpindah ke TPG sejak awal 1980-an lagi. Tanah di Mantin sudah dijual, buat modal bina rumah di Telok. Atok saudara Atok memang dah bertahun tinggal di Mantin ini. Arwah bekerja sebagai pemandu teksi di sini. Rumahnya betul-betul bersebelahan dengan Kuil Benggali di jalan lama KL-Seremban ini. Tak sampai setengah kilometer ke pekan Mantin. Atok masih ingat lagi pernah ke sana ketika berumur 14,15 tahun. Ada kenduri kahwin di sana. 

Seronoknya meraikan perkahwinan ibu saudara Atok sambil menikmati buah durian di sana. Memang durian-durian Mantin sedap rasanya, tambahan pula durian D24 atau IOI. Kalau kat sini memang Atok cari durian kampung hasil jualan orang kampung. Atok tak cari buah durian daripada kebun-kebun Cina. Bukan pasal Atok rasis atau tidak. Atok lebih pentingkan kesihatan diri. Tengok sahajalah kebun durian Cina kat sini. Bersih tanpa rumput atau semak belukar. Memang dijaga sungguh. Tapi bagi Atok di sinilah kebimbangan Atok bermula. Kebun yang disiram racun serangga dan rumpai ini, walaupun diberi baca kimia, sebenarnya tidak mesra kesihatan. Betul, kita tak nak buah durian yang berulat atau rosak ditebuk tupai, tapi kalau racun rumpai dan serangga ini boleh meresap ke pokok dan buah, Atok surrender. Membahayakan kesihatan!. Carilah durian dari kebun bersemak, lebih selamat.

Selepas majlis perkahwinan di sana, 25 tahun kemudian, Atok tidak lagi ke Mantin sehinggalah kami berpindah ke Senawang ini. Kalau ada pun kami ikut jalan lama ini ke KL bagi mengelakkan jem kat highway pada hujung minggu. Atok  selalu ziarah saudara Atok di Kg. Abdullah dan anak saudara Atok di Taman Surian, Mantin. Lagipun Mantin ni pekan kecil yang tenang dan damai, sesuai kalau nak lari dari kesibukan bandar besar. Penduduknya tak ramai, jadi hidup kat sini lebih santai, tak tergesa-gesa macam kat kota. Memang sesuai untuk nikmati hidup yang lebih santai sambil rasa suasana kampung yang nyaman. Lagi best, tempat ni terkenal dengan hasil pertanian, jadi senang je nak dapat buah-buahan dan sayur segar kat pasar tempatan. Kalau korang nak cari buah-buahan fresh dan murah daripada dusun di kampung-kampung berhampiran, datanglah ke Mantin ini. Kalau nak buat kerepek, berlambak-lambak pisang kat sini. Harga borong. Bawa jer duit lebih. 

So, dalam entri kali ini Atok nak ceritakan pasal Mantin. Atok nak selongkar cerita-cerita tentang asal usul kampung Mantin ini. Dengar cerita, hebat Mantin ini suatu masa dahulu. Ada hospital sendiri, siap ada dua panggung wayang. Sakai dari Kg. Belihoi berdekatan pun ramai yang turun ke sini pada hujung minggu. Tak payah lagi ke Seremban. Cukup berurusan di sini. Sekolah ada, balai polis ada. Seperti pekan dan bandar kecil lainnya ketika zaman kolonial dahulu, Cinanya di bandar dan lombong, India di estet, Melayu pula di kampung-kampung sekitarnya. Segregated but harmony. Duduk asing-asing, tapi berjumpanya di pekan. Penduduknya aman dan tenteram. Tak ada rusuhan kaum, Namun pernah juga beberapa kes jenayah berat yang  dilaporkan dari sini. Begitulah Mantin yang dahulu kini dan selamanya, tenang dan mendamaikan. Seperti biasa, komenlah sikit setelah membaca. Atok amat menghargai setiap kritikan dan pendapat korang. Selamat Membaca.

Pengenalan

Mukim Setul ialah sebuah mukim dalam daerah Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia merangkumi Nilai, Mantin, Pajam dan Batang Benar. Ia terletak dalam pentadbiran Majlis Perbandaran Seremban. Ia berjiran dengan Mukim Labu, Mukim Seremban, Mukim Lenggeng, dan Mukim Semenyih (Selangor).

Untuk cerita selanjutnya, klik link di bawah

https://syedalsagaff64.blogspot.com/2025/10/menariknya-sejarah-mantin.html?m=1


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sejarah Menarik Hospital Mantin

  Salam buat semua. Anak perempuan Atok memaklumkan bahawa anak keduanya dimasukkan ke hospital di Serdang kerana masalah pernafasan. Katany...