Memaparkan catatan dengan label hutan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hutan. Papar semua catatan

Jumaat, 8 April 2022

TELOK FOREST RESERVE....Mutiara Yang Hilang


Salam buat semua. Syukur kita ke hadrat Ilahi kerana dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan diberi kesihatan yang baik buat Atok sekeluarga dan pembaca setia blog Atok ini.  Dah agak lama Atok tak bersembang dengan korang. Entri Atok kali ini berkaitan dengan hutan. Hutan yang menjadi penyejuk, penapis, penenang kepada kita dan bumi kita. Orang sekarang memang mesra alam. Mereka tahu kepentingan hutan kepada manusia. Kita juga marah dan membenci golongan manusia yang mencemarinya termasuk pembalak, pengunjung yang membuang sampah pada hujung minggu serta pemaju yang menolak tanah hutan atas nama pembangunan.

Tetapi hutan yang Atok maksudkan di sini telah hilang, di depan mata Atok. Bukan hilang dalam sekelip mata, tetapi dihilangkan sedikit demi sedikit atas nama kemajuan dan pembangunan. Ianya ada ketika Atok dilahirkan di Telok dahulu, masih ada ketika Atok membesar dan menjadi dewasa, tetapi hilang menyepi tanpa berita ketika Atok bertugas sebagai pendidik di Jugra dahulu. Pemergiannya tidak Atok ratapi sehinggalah kini. Atok kesalkan kerakusan manusia di sekitarnya. 
Hutan inilah yang pernah menjadi mata pencarian keluarga datuk Atok dahulu, membanting tulang menebang dan memikul mengkawan,pokok yang menjadi tulang kepada atap nipah yang disemat sebelum dijual. Mengkawan sama makna dengan bengkawan, iaitu: bilah buluh yang digunakan sebagai tulang atap rumbia (nipah dan lain-lain). Namanya Hutan Simpan Telok atau Telok Forest Reserve. 
Begini kisahnya.....

Sejarah penubuhan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) berhubung kait dengan spesies pokok yang aneh sebutannya, iaitu gutta percha/ pokok nyatoh taban merah yang pada suatu ketika dahulu amat berharga kepada Kerajaan British. Permintaan yang tinggi dan eksploitasi yang melampau terhadap pokok inilah yang mendesak Kerajaan British untuk memulakan pengurusan hutan serta penyelidikan perhutanan di Tanah Melayu British pada hujung abad ke-19 sehinggalah kepada penubuhan FRIM pada tahun 19. Gutta percha mula-mula diperkenalkan di Eropah dan dipasarkan setelah diketahui memiliki sifat-sifat yang sesuai (senang lentur, tahan tekanan tinggi dan suhu dingin) untuk pembuatan penyalut dawai elektrik dalam air. Di samping itu, getahnya juga digunakan sebagai pelapis bola golf, dalam rawatan gigi serta menghasilkan genggaman pistol dan bahan perhiasan. 

Permintaan tinggi spesies tersebut disebabkan oleh kegunaan getah pokok ini sebagai penyalut kabel dalam air semasa perkembangan pesat telekomunikasi antarabangsa pada pertengahan abad ke-19. Pengutipan getah gutta percha secara menebangkan seluruh pokok telah menyebabkan populasinya semakin berkurangan menimbulkan kebimbangan dan usaha untuk menjalankan penyelidikan perhutanan dimulakan bagi memastikan kelestarian spesies ini dan sumber hutan lain.

Perhutanan adalah di bawah kuasa Kerajaan Negeri. Oleh yang demikian, setiap negeri berkuasa untuk menggubal undang-undang di sektor perhutanan dan mengadakan dasar perhutanan sendiri.Pengurusan hutan merupakan tanggungjawab Pegawai Tanah pada 1895-1901 dalam pentadbiran Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Federated Malay States). Walau bagaimanapun, sejak 1901 Ketua Pegawai Hutan bertanggungjawab mentadbir hutan di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Bagi melatih kakitangan Jabatan, Sekolah Perhutanan Kepong (SPK) telah ditubuhkan dalam tahun 1927 dan merupakan satu-satunya "Pusat Latihan Perhutanan" yang tertua untuk "Pegawai-pegawai Berpakaian Seragam" di Semenanjung Malaysia ini. Pada peringkat awalnya, SPK hanya digunakan untuk melatih "Penjaga Hutan (Forest Guard)" yang perlu menjalani kursus setahun sebagai syarat perkhidmatan untuk dilantik ke dalam jawatan "Pengawas Hutan II (Forester Grade II)".
 
Di Kuala Langat,  pengurusan hutan di daerah ini telah wujud seawal tahun 1885 lagi dengan pelantikan Renjer Hutan pertama yang berbangsa Melayu bernama Mohammad Salleh di bawah seliaan Pejabat Pemungut Hasil dan Megistret di Jugra. Setelah beliau bersara pada tahun 1892 kerana masalah kesihatan, jawatannya disandang oleh Mat Tajuddin pada tahun yang sama. Antara tugas-tugasnya ialah membantu dalam penandaan sempadan lot-lot pertanian dan sebagainya. Dalam tahun 1916 seseorang yang bernama Andul (Abdul?) Karim menjawat tugas sebagai penulis dan penjejak di pejabat hutan Kuala Langat. Disebabkan beberapa masalah logistik dan pergerakan dari Jugra ketika itu, cadangan penempatan untuk renjer hutan di sebuah bilik di Balai Polis Telok Panglima Garang kerana masalah yang mereka alami disuarakan. Seterusnya.pembinaan kuarters kekal untuk kakitangan Renjer Hutan di Telok Panglima Garang dilakukan pada tahun 1902.Akhirnya, setelah keseluruhan pentadbiran Kuala Langat dipindahkan ke Telok Datok, maka  dalam tahun 1920, pembinaan kuarters untuk kakitangan Jabatan Perhutanan di Telok Datok dilakukan. Stesen Pemeriksaan Hutan di Telok Panglima Garang telah dibina sebelum tahun 1925 lagi.

SEJARAH PEWARTAAN HUTAN SIMPAN

“The British introduction of foreign land codes in Malaya impacted how people in Malaya interacted with the landscape in the legal realm, but the primary transformation that it signified was the fashioning of a number of new categories and typologies of land alienation in the region. One new series of classifications involved the creation of ‘Protected Areas’, such as the forest reserve. Originally conceived by British officials in the late nineteenth century to safeguard local watersheds, the labeling of reserved forest land expanded rapidly in the early twentieth century, particularly after the emergence of a forest management department in the FMS 1909. At this time, Malaya's forests – previously considered public state land – became divided and protected sites, in an effort to both conserve the colony's tree species as well as to earmark specific areas for future timber production. 

The reservation of Malaya's forest lands in turn led to the mapping of those areas, a process that Jeyamalar Kathirithamby-Wells has called an ‘exercise in territorialization’. These changes were significant. While only 3% of the FMS's 68,324 sq km of total land was reserved forest in 1909, by 1932, forest reserves accounted for over a quarter of the same area's land mass. With time, both forest reserves and other protected areas – including game reserves and national parks – came to represent the bulk of Malaya's land mass."

KEDUDUKAN DAN LOKASI HUTAN SIMPAN TELOK

Berdasarkan Peta Kuala Langat pada 1911 Hutan Simpan Telok (bertanda Telok FR) yang meliputi kawasan seluas kira-kira 8,856 ekar  merupakan satu-satunya hutan simpan di kuala langat pada masa itu. Uniknya, hutan simpan ini terletak di bawah dua pentadbiran daerah. sebahagian besarnya di dalam Klang dan selebihnya di daerah Kuala Langat. Kawasan hutan ini bermula dari Batu Unjur di Klang hingga ke Batu 9 Jalan Langat dan dari persimpangan Jalan Kebun di Klang hingga ke Bukit Kemandol. Kawasan hutan ini disempadani oleh jalan-jalan raya. Hutan Simpan Telok ini telah diwartakan di bawah Seksyen 24(1) Kod Tanah (Cap.138) Notifikasi Warta No. 586/1906 pada tahun 1906 mengikut enakmen dan tujuan pewartaan hutan simpan ini untuk bekalan pembalakan  pada masa depan. Juga dikatakan bahawa kewujudan Hutan Simpan Telok dan jaluran beberapa hutan simpan di Kuala Langat kemudiannya, bertujuan untuk mengasingkan tanah pertanian dan memberi perlindungan kepada masyarakat daripada serangan hidupan liar dan makhluk perosak.




Peta tahun 1911 menunjukkan lokasi Hutan Simpan Telok yang meliputi sebahagian daerah Klang dan Kuala Langat


Closeup kawasan Hutan Simpan Telok atau Telok Forest Reserve


Senarai Hutan-hutan Simpan termasuk Hutan Simpan Telok di Selangor pada tahun 1920

PROFIL HUTAN SIMPAN TELOK

Gambut didefinisikan sebagai jenis tanah yang mengandungi sekurang-kurangnya 65% bahan organik dengan kedalaman tidak kurang daripada 50 cm di dalam sesuatu kawasan seluas satu hektar dan ke atas. Hutan paya gambut merujuk kepada kawasan hutan tropika dan subtropika yang terdapat di belakang hutan paya laut menghala ke darat di mana terdapat tanah lembap khusus berisi gambut dan airnya yang kurang masin. Hutan Paya Gambut memainkan peranan yang penting terhadap ekosistem dan kawasan tadahan air di samping mempunyai ciri-ciri yang unik dan ‘fragile’. Sebarang gangguan terhadap ekosistem di kawasan ini akan menyebabkan perubahan berkekalan kepada sistem hidrologi dan habitat semulajadi kepelbagaian flora dan fauna. Hutan-hutan paya gambut merupakan suatu simpanan karbon yang penting untuk planet ini, 

KEROSOTAN HUTAN SIMPAN TELOK  AKIBAT PEMBANGUNAN DAN GUNA TANAH

Walaupun secara prinsipnya, hutan-hutan simpan ini sepatutnya merupakan kawasan larangan bagi sebarang aktiviti seperti pembalakan, pertanian, penternakan malah pemburuan, namun realitinya, hasil-hasil hutan terutamanya pembalakan banyak memberikan pendapatkan kepada kerajaan negeri Kayu-kayu balak seperti Meranti, Keranji, Medang Kunyit, Rengas dan Merbau yang bermutu dan berharga tinggi di pasaran ditebang termasuk juga di kawasan Hutan Simpan Telok ini. Kayu balak merupakan sumber utama bahan  bagi industri binaan, perabot dan sebagai bahan api (kayu api dan arang). Selain itu, hasil-hasil hutan termasuklah rotan, buluh, damar, nipah, getah percha, getah para, produk haiwan, haiwan liar memberikan pendapatan tetap kepada kerajaan negeri dan penduduk-penduduk setempat.

Statistik  Perolehan bagi kerajaan F.M.S (Negeri-negeri Bersekutu) pada tahun 1920 jelas menunjukkan pertambahan pendapatan daripada hasil-hasil hutan berbanding tahun-tahun sebelumnya:

Bermula pada tahun 1914, Hutan Simpan Telok ini mula menerima asakan daripada  cadangan pembangunan. Dikatakan laluan jalan keretapi Klang-Morib akan melalui sebahagian daripada hutan simpan ini. Tetapi entah mengapa, mungkin tiada keperluan mendesak dan juga perkembangan dan kemajuan jalan raya, rancangan ini lenyap begitu sahaja. Pada tahun 1916, beberapa bahagian kecil hutan ini dibenarkan untuk pembukaan petempatan Melayu. Tidak lama selepas itu, pada tahun 1919, kelulusan tanah TOL untuk petani Cina yang menanam sayur-sayuran diberikan.

Kerja-kerja menggali parit bagi tujuan pertanian mula dilakukan pada tahun 1922. Kajian yang dijalankan pada pada tahun 1923, menunjukkan tanah gambut ini tidak sesuai untuk penanaman padi seperti mana di estet Batu Unjor, Justeru, permohonan pembukaan hutan ini untuk penanaman padi oleh beberapa orang petani Melayu tidak diluluskan. Kajian itu juga mendapati hutan tanah gambut ini lebih sesuai untuk penanaman nenas. Hutan ini terus merosot dari segi keluasannya apabila semakin banyak permohonan untuk pembukaan tanah pertanian diterima. Pada tahun 1926, permohonan untuk penanaman buah-buahan seluas 1000 ekar, diikuti permohonan daripada syarikat swasta untuk 5000 ekar tanah hutan ini bagi tujuan penanaman nenas dalam tahun 1927.

Telah berlaku sedikit perubahan sempadan Hutan Simpan Telok pada tahun 1927. Hal ini kerana permohonan pertukaran tanah ladang dengan tanah hutan simpan ini oleh sebuah syarikat perladangan pada tahun 1925. Mereka memohon untuk menukarkan tanah milik mereka di Jalan Pendamar dengan saiz tanah yang sama di dalam kawasan Hutan Simpan Telok berhampiran kawasan Batu 4 Jalan Langat bagi tujuan penanaman kelapa sawit pada tahun 1925. Tetapi permohonan pertukaran tanah oleh Estet Highlands dan Lowlands untuk penanaman kelapa sawit di kawasan hutan simpan ini pada mulanya ditolak oleh kerajaan negeri. Walau bagaimanapun, akhirnya pada tahun 1929, kerajaan bersetuju menggantikan tanah tersebut dengan tanah di hutan  ini kerana pengambilan tanah di Batu Unjor untuk penanaman padi. Penanaman kelapa sawit di kawasan Highland estet didapati sesuai dan subur di kawasan hutan simpan ini.

Bukan sahaja untuk tujuan pertanian, hutan simpan ini juga mahu diteroka sebagai lombong bijih timah. Pada 1929, permohonan untuk mencari gali dan seterusnya melombong timah dibuat oleh Selangor Tin Limited di hutan simpan ini. Tetapi syukurlah hutan ini terselamat kerana tiada longgokan bijih timah dijumpai.

Dalam dekad-dekad 1930-an dan 1940-an, hutan ini terus diasak arus kemodenan. Dalam tahun 1931, permohonan oleh Goh Hock Huat untuk pembukaan ladang nenas seluas 2000 ekar di hutan ini diajukan kepada Selangor State Council. Kerajaan membenarkan pajakan ke atas tanah hutan ini. Semenjak itu banyak permohonan diterima untuk membuka hutan ini sebagai kawasan pertanian. Pada tahun 1936, pihak perhutanan menerima lagi permohonan membuka  6000 ekar tanah untuk penanaman nenas. Kawasan ini juga pernah dibuka untuk penanaman pertanian ketika pendudukan Jepun (1942-1945).

Selepas tamat Perang Dunia Kedua, hutan ini kembali menjadi sasaran. Saiz hutan ini semakin merosot. Dalam tahun 1947 permohonan untuk 120  ekar untuk penanaman nenas di HST diterima oleh Pejabat Daerah Kuala Langat. Akhirnya pada 19/3/1947, stesen pemeriksaan sementara  di kawasan hutan simpan ini telah dijual. Ketika Era Darurat (1948-1960), Hutan Telok ini menjadi tempat persembunyian dan penyimpanan bekalan makanan untuk aktiviti subversif dan keganasan komunis di selatan Selangor. 

Dalam tahun 1952, pihak berkuasa mengarahkan semua penduduk kecuali Orang Asli berpindah keluar dari kawasan hutan ini dalam tempoh masa seminggu. Ketika itu terdapat  14  buah rumah dan keluarga Cina yang tinggal di pinggiran hutan ini. Mereka mengerjakan pertanian dan ternakan babi. Mereka diarahkan berpindah dan tinggal di Kelab Hokkien Klang kerana rumah-rumah tersebut akan dirobohkan. Pihak tentera kemudiannya mengebom kawasan hutan ini yang menjadi sarang persembunyian Komunis. 

Pada tahun 1952 juga, cadangan untuk pembinaan Stesen Penyelidikan Persekutuan (kini Stesen MARDI) seluas 200 ekar di Jalan Kebun terletak dalam kawasan hutan simpan ini diluluskan. 

Aktiviti pencerobohan utama yang sering berlaku di kawasan Hutan Paya Gambut ini adalah untuk tujuan aktiviti berunsurkan pertanian. Pada tahun 1952, dilaporkan ramai peneroka haram kaum Cina di sini walaupun tiada sebarang rumah didirikan di situ. Malah lebih berani lagi, pada tahun 1968, Hamid Tuah dikatakan mengetuai 800 orang pengikutnya membuka 500 ekar tanah baharu di hutan simpan ini berhampiran Kampung Johan Setia. 

Sejak 1970-an lagi, sisa-sisa hutan simpan ini hanyalah terdapat dari Batu 5 Kampung Johan Setia di daerah Klang hinggalah di Batu 9 Kampung Kebun Baharu. Banyak berlaku penyelewengan oleh pihak Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat dalam Program Revolusi Hijau dalam tahun 1970-an di Telok Panglima Garang dan kawasan hutan simpan ini menyebabkan hakmilik tanah tersebut berpindah tangan kepada keluarga dan rakan-rakan mereka sebelum dijual kepada orang lain seperti guru, kakitangan kerajaan dan ahli perniagaan pada harga yang lebih tinggi. Permintaan yang tinggi untuk perumahan, serta perkilangan di Klang dan Telok Panglima Garang, kesan daripada urbanisasi dan industrialisasi yang berlaku dalam dekad-dekad 1970-an dan 1980-an memaksa kerajaan mengubah saiz hutan ini seterusnya memansuhkan status Hutan Simpan Telok ini. Kini, Hutan Simpan Telok hanya tinggal kenangan terutamanya kepada penduduk warga emas di Klang dan Kuala Langat.

PERUBAHAN HUTAN SIMPAN TELOK AKIBAT CUACA DAN UNSUR ALAM

Spesies utama yang terdapat di kawasan ini ialah pokok meranti. Kawasan-kawasan hutan ini yang luas telah dibalak pada kadar yang tinggi.  Selain itu, pengekalan air merupakan faktor penting dalam keseimbangan ekosistem hutan paya gambut. Aktiviti pembalakan secara intensif yang dijalankan sebelum 1990 telah menyebabkan banyak terusan air dibina bagi tujuan membawa keluar kayu balak. Pembinaan terusan air ini telah menyebabkan peningkatan pengaliran air keluar secara berlebihan dan berterusan. Keadaan ini menyebabkan paras air bawah tanah (ground water level) menjadi rendah. Dengan itu, permukaan gambut menjadi kering dan mudah terbakar semasa musim panas.  

Kebakaran  hutan merupakan ancaman utama kepada Hutan Simpan Telok. Kebakaran menyebabkan kehilangan sumber hutan, kepelbagaian biologi dan menjana pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan jerebu yang memberi kesan buruk kepada masyarakat tempatan. Kebakaran juga membawa kepada kerugian ekonomi. Dalam tahun 1954, hutan tanah gambut ini pernah terbakar selama sebulan setengah sehingga sukar untuk dipadamkan api kebakarannya. Pihak bomba terpaksa menggali parit sedalam  lebih 10 kaki untuk mengawal api daripada merebak. Api kemudiannya dapat dikawal setelah hujan turun dengan lebatnya di kawasan tersebut.

hutan ini pernah terbakar selama sebulan setengah dalam tahun 1954



Rujukan:






Sejarah Menarik Rumah Rehat Tampin dan Gemas

Salam buat semua. Hari ini, Khamis, 28 November 2024. Hari ini Atok dan Wan tak ke mana-mana. Hanya duduk kat rumah menanti anak-anak kami p...