Memaparkan catatan dengan label indian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label indian. Papar semua catatan

Selasa, 27 Disember 2022

Sejarah Kopi di Kuala Langat

Salam buat semua. Jumpa lagi kita. Alhamdulillah. Tahun 2022 bakal melabuhkan tirainya. Dah nak masuk tahun baharu, 2023. Covid dah slow down walaupun tetap ada. Dah jadi macam denggi. Ada, tetap wujud, merbahaya, dan masih berbisa. So, berhati-hatilah. Pakai aja pelitup muka itu ketika bercampur dalam majlis yang ramai, atau di tempat-tempat awam. Dengar cerita covid akan sekali lagi melanda dunia dalam tahun 2025. Itu ramalan WHO. Tapi tidaklah dipanggil COVID, sebaliknya SEERS. Ada Atok menonton tentangnya di Youtube. Macam konspirasi jer bunyinya. Alah, jangan dikesahkan sangat rumours itu. Yakinlah. Tidak akan terkena sesuatu musibah tanpa izin Allah SWT.

OKlah, entri Atok kali ini ini tentang benda yang pernah mengharumkan nama Kuala Langat seantero dunia dan Malaya. Bukan, bukan keluarga Sidek! Tak, tak, bukan juga kerepek! Tapi ada kena mengena dengan orang Jawa, Cina, Omputeh, Telok, Sijangkang, dan getah. HAHAHA...pening,kan? Jawapannya....KOPI. Ya, kopi. Kopi yang korang minum hari-hari itu!. Aduh, nikmat sungguh minum kopi O panas dengan roti bakar, dengan dua biji telur setengah masak, mantap,beb! Tapi korang tahu tak macam mana sejarah kopi ini datang kat Malaysia?

Tapi sebelum itu, Atok nak ceritakan sedikit pasal kebun kopi keluarga Atok kat Telok, masa Atok kecil-kecil dan meniti dewasa dahulu, sekitar dalam tahun 1970-an. Dekat Telok dahulu, kopi tanaman utama. Bukan Telok sahaja, seluruh Kuala Langat sampai ke Johan Setia, Klang ditanami pokok kopi. Kebun moyang Atok seluas 6 ekar, ditanam tiga jenis tanaman...getah 2 ekar, kopi 4 ekar dan pokok-pokok durian, langsat dan manggis di antara pokok-pokok kopi dan getah. 

Masa tengah sekolah menengah dahulu, kalau duit poket tengah kering, masa itu datang idea macam mana nak cari duit. Time itu pula kopi sedang masak ranum. So, Atok kumpulkan geng-geng Atok, Seman, Ajis, Salmah atau Azean. Diorang sedara mara Atok juga. So, esok petangnya balik dari sekolah, lepas makan, kita orang buat operasi petik kopi. Pokok kopi Atok bukannya ada dibaja bagai. Nak hidup, hiduplah. Kita orang amalkan 3T, Tanam, Tinggal, Tuai.......macam Sakai. HAHAHA. Setiap satu baldi kopi diorang petik, Atok bayar upah seringgit. Korang bayangkanlah kalau ada 10-12 baldi. Atok kayo, Atok kayo! Tapi seksa juga nak dapatkan 10-12 baldi tu, pokok bersemut dan berkerengga. Dahlah tu, tinggi pula. Terpaksa pakai tangga atau panjat pokok.  

Dah siap petik, Atok kumpulkan dan masukkan dalam guni sebelum tunggang basikal jual kat kedai kopi. Bukan kedai kopitiam, tapi kedai tempat proses biji kopi jambu untuk dijemur dan dikeringkan sampai jadi kopi beras. Masa itu kopi agak tinggi juga harganya. Cukuplah buat duit pergi pasar malam, belanja adik beradik. Dapat sahaja duit Atok balik bayar upah member-member, lepas itu pergi balik ke Telok, shopping kat pasar malam. Masa itu pasar malam hari Selasa malam Rabu bertempat betul-betul tang food court kat selekoh pekan Telok itu. 

Dulu masa Atok kecil sampai 1980-an, dekat Telok ada dua kedai tempat Atok jual biji kopi. Satu betul-betul kat belakang pekan Telok, jalan Telok Mengkuang, belakang rumah Haji Hamzah..lagi satu dekat batu 10 lorong nak pergi Kebun Baru..tapi sekarang hanya tinggal kenangan..Kalau difikir-fikirkan, tak lalu Atok nak minum kopi lagi lepas aku tengok anjing-anjing  tauke Cina tu baring-baring atas biji kopi yang dah dijemur kering. Sure ada yang terlepas hajat besar dan kecil kat atas timbunan kopi tu, kan? Tapi apa yang boleh Atok buat? Atok cuma jual biji kopi basah jer..Atok juga pernah tolong arwah moyang Atok buat kopi sendiri...lagi bersih! Sampai sekarang Atok penggemar kopi tegar...HARDCORE.

So, kali ini, Atok nak korek dalam-dalam, baca luas-luas bahan bersejarah tentang industri kopi di Kuala Langat ini. Atok hendak tahu bagaimana Banting dan Kuala Langat suatu masa dahulu pernah merupakan  Malaya's capital of coffee beans. Korang rilekslah macam biasa. Macam biasalah, Atok beritahu intronya dahulu, asal usulnya, macam mana boleh sampai kat Malaya, blah,blah,blah...Oh,ya, gambar-gambar dan maklumat semuanya Atok ambil dari Arkib Negara, surat khabar lama, dan blog atau laman korang dari internet. Thanks a lot, guys! Macam biasa jugalah. I'm so sorry kalau Atok ambil tanpa  minta izin dahulu. Minta halal dunia akhirat ya.. Baca cerita Atok ini sambil hirup kopi O panas cap Anggerek. Umangai!  And the story goes like this.....

Tanaman kopi dikatakan berasal dari kawasan Tropika di Benua Afrika. Ianya dibawa ke Semenanjung Malaysia pada tahun 1779 di mana jenis Arabica merupakan jenis yang mula diperkenalkan. Perusahaan kopi tempatan mula berkembang apabila kopi jenis Liberica diperkenalkan oleh Leonard Wray pada tahun 1875. Apabila kedua-dua jenis ini sangat peka terhadap serangan penyakit karat daun (Hemileia vastatrix), kopi jenis Robusta yang didapati tahan terhadap penyakit ini dibawa masuk.

Di Malaysia, hanya terdapat dua variasi kopi yang ditanam iaitu kopi Liberica (90%) dan Robusta (10%). Pada tahun 1900, kopi jenis Liberica (Coffea liberica Bill ex Hiem) sesuai ditanam di Semenanjung Malaysia. Negeri pengeluar utama jenis kopi ini ialah Johor dan Selangor. Manakala kopi jenis Robusta pula banyak ditanam di Utara Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak. Pada masa ini tanaman kopi banyak diusahakan secara tanaman tunggal atau tanaman selingan di kawasan kelapa yang sedia ada, terutama di kawasan-kawasan Pantai Barat Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dan kebanyakannya diusahakan oleh sektor pekebun kecil (99.6%), agensi kerajaan (0.37%) dan estet swasta (0.03%).

Jenis-jenis Kopi

1.     Coffea arabica

Coffea Arabica, juga dikenali sebagai kopi Arab, ialah spesies tumbuhan berbunga dalam keluarga kopi dan madder Rubiaceae. Ia dipercayai merupakan spesies kopi pertama yang telah ditanam dan kini merupakan kultivar dominan, mewakili kira-kira 60% daripada pengeluaran global. Kopi yang dihasilkan daripada biji robusta yang kurang berasid, lebih pahit dan lebih berkafein tinggi (C. canephora) membentuk sebahagian besar pengeluaran kopi yang tinggal. Kopi Arabica berasal dari dan pertama kali ditanam di Yaman, dan didokumentasikan pada abad ke-12.

Bunga dan buah kopi Arabica

2.     Kopi Liberica 

Adalah jenis kopi yang berasal dari Liberia, dan Afrika Barat. Kopi ini dapat tumbuh setinggi 9 meter dari tanah. Pada abad-19, jenis kopi ini didatangkan  dari  Indonesia untuk menggantikan kopi Arabica dari Sri Lanka yang terserang oleh hama penyakit.  Biji kopi Liberica terkenal kerana ia adalah hasil yang jarang ditemui. Malah, biji kopi ini hanya menyumbang 2% daripada keseluruhan penggunaan kopi di dunia. Salah satu sebab jarangnya adalah kesukaran menuai dan memproses biji kopi ini secara keseluruhan.Malah, tanaman kopi Liberica juga dikatakan tidak mempunyai kemampuan untuk membiak sendiri (self-pollinate) yang mengakibatkan ia bergantung kepada pendebungaan rentas melalui angin, serangga atau burung untuk membantu memindahkan debunga dari tanaman lain. Kopi jenis Liberica mengambil masa 8-13 bulan dari tarikh pengeluaran bunga untuk masak manakala kopi jenis Robusta pula mengambil masa antara 9-10 bulan untuk masak.

Bunga  dan buah kopi Liberica

3.    Kopi Robusta 
(nama Latin Coffea canephora atau Coffea robusta) 

Merupakan keturunan beberapa spesies kopi, terutama Coffea canephora. Jenis kopi ini tumbuh baik di ketinggian 400-700 m dari aras laut, bersuhu 21-24° C dengan bulan kering 3-4 bulan secara berturut-turut dan 3-4 kali hujan.  Kualiti buahnya lebih rendah dari Arabika dan Liberica. Kopi yang dihasilkan daripada biji robusta yang kurang berasid, lebih pahit dan lebih berkafein tinggi (C. canephora) membentuk sebahagian besar pengeluaran kopi yang tinggal.

Bunga dan buah kopi Robusta

Kaedah Penanaman Kopi

Sebagai perbandingan antara kopi Arabica, Robusta dan Liberica, ceri Arabica dan Robusta mempunyai saiz yang lebih seragam, dan hanya mempunyai satu biji untuk satu ceri. Sebaliknya, ceri Liberica adalah yang terbesar di antara variasi kopi yang mana ia mempunyai hasil yang lebih rendah, kulit yang lebih keras, ukurannya berbeza-beza, dan mempunyai satu hingga tiga biji untuk satu ceri.

Perbandingan biji-biji kopi Arabica, Liberica, dan  Robusta

Pokok kopi yang ditanam menggunakan biji benih mula mengeluarkan bunga lebih kurang setahun selepas ditanam di ladang. Ini berbeza daripada anak benih yang ditanam menggunakan baka cantuman di mana ia mula mengeluarkan bunga pada peringkat umur 6 – 9 bulan selepas ditanam. Buah kopi jambu berwarna hijau semasa muda dan bertukar menjadi kuning dan merah apabila masak. Biasanya setiap buah kopi jambu mengandungi dua biji kopi beras, walaupun ada terdapat buah yang mempunyai satu biji sahaja yang dinamakan pea/berry.

Pokok kopi adalah sejenis pokok saka yang boleh hidup dengan ekonomik sehingga 25 tahun. Pokok kopi mampu tumbuh sehingga ketinggian 10-15 meter  jika tidak dikawal tetapi lazimya akan dibuat cantasan untuk ketinggian 1.6-1.7meter sahaja. Cantasan pokok kopi perlu dijalankan bagi tujuan kutipan hasil agar tidak perlu memanjat pokok (tidak ekonomik). Bunga kopi merupakan satu lagi keistimewaan tumbuhan ini kerana berbau wangi, banyak jambak dan sumber nektar untuk jadi madu yang sangat baik. Bunga yang berwarna putih ini akan keluar setahun selepas ditanam.

SEKILAS INFO SEJARAH KOPI DI SELANGOR

Pada era zaman kolonial di Tanah Melayu penanaman tebu dan kopi di Tanah Melayu telah diperkenalkan. Kopi diperkenalkan oleh peladang-peladang Eropah dalam hujung kurun ke-19. Asalnya, kopi diperkenalkan di Malaya setelah perusahan kopi di Ceylon atau Sri Lanka diserang penyakit menyebabkan pengeluarannya berkurangan. Pada akhir abad ke-19 dan awal abad kurun ke-20, penanaman kopi terbukti menguntungkan. Kopi telah menjadi sebagai tanaman komersial pertama yang boleh hidup dengan baik di kebanyakan tempat di Tanah Melayu. Penanaman kopi secara besar-besaran di Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Johor adalah seluruhnya usaha orang-orang Eropah dengan sebilangan besar mereka yang dahulunya peladang-peladang kopi di Ceylon (Sri Lanka). 

Kebanyakan kopi yang ditanam adalah daripada jenis liberica. Kopi merupakan tanaman  komersial pertama yang dibuka secara ladang yang memerlukan kapital, pengurusan tanaman dan buruh import. Kebanyakan ladang-ladang kopi ini diusahakan oleh peneroka berbangsa Eropah yang mewakili korporat atau syarikat komoditi yang besar, setelah mendapat konsesi pembukaan tanah hutan yang luas di Malaya amnya dan di Selangor khususnya. Hal ini telah menarik begitu banyak modal pengurusan dan membawa masuk ramai buruh Tamil dan Jawa ke beberapa tempat di Semenanjung. Tiga buah daerah di Selangor, iaitu Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Klang merupakan kawasan utama tanaman kopi. Benih dan anak -anak pokok kopi ini disemai di Johor dan Sungai Ujong (Negeri Sembilan) sebelum dihantar ke ladang-ladang di Selangor. 

Ladang kopi merupakan perladangan yang memerlukan tenaga buruh yang ramai (labor intensive). Dikatakan bagi setiap seratus ekar ladang, mereka memerlukan 60 orang pekerja menguruskannya. Bekalan pekerja merupakan buruh import Tamil dan Jawa. Buruh Tamil lebih menjadi pilihan peladang kerana kos yang lebih murah dan bekalan yang tetap (kontrak) untuk tempoh masa yang panjang berbanding pekerja Melayu, Jawa dan Cina. Tambahan pula mereka berpengalaman bekerja di ladang-ladang kopi di Srii Lanka sebelum ini. 

Penghijrahan masyarakat Jawa ke Selangor paling besar berlaku sekitar diantara tahun 1880-1940, terutama bermulanya pembukaan ladang - ladang kopi dan getah di seluruh Selangor dan juga apabila dasar kerajaan British Selangor yang bermula pada 1884 untuk penduduk tempatan dan imigran diberi kebenaran dan peluang untuk memohon dan membuka tanah untuk lahan-lahan pertanian seperti untuk penanaman padi, kelapa pisang, kopi, pinang, ubi dan sebagainya. 

Antara tempat-tempat pendudukan masyarakat Jawa di Selangor kebanyakannya berada berhampiran dengan laut atau pantai seperti di Morib, Kuala Langat, Sepang, Klang, Kuala Selangor, Sungai Besar serta Sabak Bernam. Antara tempat - tempat asal keturunan Jawa di Selangor yang kebanyakan dari kawasan Jawa Tengah dan sebahagiannya dari Jawa Timur adalah dari Tegal, Brebes, Kendal, Djapara, Karaganjar, Koetoarjo, Keboemen, Poerworedjo, Bandjanegara, Djoewana, Pati Jogjakarta, Ponorogo, Patjitan, Madioen, Pangoel.

Peladang kopi dan getah Inggeris dan Eropah pula telah mengambil ramai buruh dari pulau Jawa yang diakui mereka itu tangkas dan mahir dalam pertanian. Malah mereka juga gemar menggajikan amah, tukang kebun dan pemandu dari keturunan Jawa juga kerana mereka memang terkenal dengan sikap sopan, patuh, jujur dan rajin. Gaji buruh semasa era itu adalah sekitar $15/ - $40/ sebulan.

Oleh sebab penanaman kopi memuaskan dan matlamat kerajaan hendak menegakkan perusahaan pertanian Eropah yang stabil secara besar-besaran, maka kerajaan sendiri telah bertindak untuk membantu operasinya. Peladang-peladang kopi telah mendapat syarat-syarat yang baik mengenai pengambilan tanah. Setelah itu, kebun-kebun perseorangan telah menjadi syarikat-syarikat besar. Pada tahun 1880-an, ladang-ladang kopi mula dibuka di Johor, Perak dan Selangor, pada mulanya oleh para pengusaha dari Ceylon. Ladang-ladang kopi terawal di Selangor ialah Weld Hill's Estate dan Batu Caves Estate di Kuala Lumpur. 

Penanaman kopi di Klang sebenarnya dimulakan oleh seorang berbangsa Jawa bernama Haji Mat Tahir, dikenali sebagai Penghulu Dagang, menggantikan tanaman pinang di ladangnya. Beliau menyewakan sebahagian tanahnya itu kepada petani Cina dan Melayu Dagang untuk ditanami kopi.dengan kadar sewaan 50 sen seekar. Sejak itu permohonan untuk kopi meningkat. 

(Catatan: 1 ekar= 0.404686 hektar)

Dalam tahun 1893 terdapat 19 buah ladang milik bangsa Eropah di daerah Kuala Lumpur dan Klang yang menanam kopi jenis Liberian ini dengan keluasan  2,153 ekar. Malah orang-orang Melayu Dagang (bukan dilahirkan di Selangor) sanggup menebang pokok-pokok pinang di kebun-kebun mereka untuk digantikan dengan pokok-pokok kopi ini semata-mata kerana harganya yang tinggi di pasaran. Tambahan pula pokok kopi jenis Liberica ini sesuai di tanam di tanah yang rata ataupun di tanah berpaya gambut sekali pun. Pembukaan lebih banyak kawasan hutan oleh 16 orang peladang Eropah untuk dijadikan kawasan pertanian dan ditanami pokok-pokok kopi merancakkan pertumbuhan sektor pertanian di negeri Selangor.

Kopi tempatan juga ditanam secara meluas terutama di daerah Klang. Bahkan terdapat dua buah kilang memproses kopi milik Eropah di Klang yang memastikan pengeluaran dan permintaan yang sentiasa meningkat untuk kopi daripada pekebun dan peladang kopi di Selangor. Dalam tahun 1893, di Klang, dua orang peladang berbangsa Eropah, bernama Mr. A. Forsyth dan Mr. Hugh Cumming telah membuka ladang kopi berkeluasan 800 ekar untuk penanaman kopi Liberica di Jalan Langat. Kerja-kerja membersihkan hutan, membina jalan dan perparitan telah dijalankan. Mereka juga membeli kopi-kopi daripada pekebun-pekebun kecil Melayu bagi tujuan pengeksportan. Seorang lagi bernama Mr. Huttenbach telah membeli sebidang tanah seluas 4 ekar berhampiran Stesen Kereta api Klang bagi tujuan membina kilang pemprosesan kopi di daerah tersebut. Dalam tahun 1894, 4000-5000 ekar tanah dianugerahkan kepada peladang Eropah di Klang yang ketika itu mempunyai 2000 orang penduduk,  

Dalam tahun 1895, kerajaan negeri Selangor melalui iklan di akhbar memaklumkan penjualan beberapa plot tanah (masih dalam keadaan hutan dara) seluas 320 ekar setiap satunya  dibuka  secara lelongan dengan harga rezab sebanyak $1 seekar dan cukai tahunan sebanyak 50 sen  bagi setiap ekar. Daripada iklan tersebut, dapat diketahui kawasan-kawasan sekitar plot-plot tanah ini sudah diusahakan tanaman kopi.


Iklan Penjualan tanah pertanian oleh kerajaan Selangor di daerah Klang dalam tahun 1895

Banyak tanah baharu dibuka dalam daerah Klang dalam tahun 1896. Kira-kira 1,000 ekar tanah  di Jalan Langat dan dua plot tanah lagi berkeluasan 320 ekar setiap satunya di Jalan Kebun diperuntukkan bagi tujuan tanaman kopi. Dalam tahun 1896 juga, kawasan penanaman kopi di Klang meliputi kawasan dari ladang-ladang kopi Highlands dan Golden Hope di Jalan Langat, kawasan petempatan Jawa di Pandamaran, Jalan Kebun, dan Kapar di utara daerah Klang. Secara keseluruhannya, seluas 38,642 ekar tanah ladang milik Eropah ditanami kopi di Selangor. Industri kopi ini turut merebak ke Perak dan Negeri Sembilan di mana dalam tahun 1894, ketiga-tiga negeri ini mengeksport 17000 pikul manakala 100,000 pikul dalam tahun 1905. 

(Catatan: 1 pikul=60kg)

Permintaan terhadap kopi meningkat sehingga mencapai puncaknya pada tahun 1894 dan 1895 apabila harganya mencapai $40 sepikul. namun harga tersebut tidak kekal lama  dan menjunam tidak lama selepas itu apabila Brazil membanjirkan pasaran kopi dunia berikutan kemasukan imigran yang ramai ke negara tersebut. Dalam tahun 1897, jumlah eksport kopi melalui Jeti Pengkalan Batu di Klang merekodkan 12 ribu pikul dengan nilai $30,1275 berbanding 6,944 pikul  dengan nilai $25,7306 dalam tahun 1896.

Frank Swettenham pernah dinasihatkan oleh para pelabur di Eropah untuk menggantikan  kopi liberica kerana harga yang tinggi ini tidak akan kekal lama berbanding kopi Arabica. Terbukti, pada tahun berikutnya Brazil melambakkan produk kopinya di pasaran antarabangsa menyebabkan harga kopi terutama liberica merudum dan terus merosot. Harga jualan kopi pada tahun 1897 merosot kepada hanya $24 sepikul berbanding $36 sepikul pada tahun 1896.Hanya pasaran kopi tempatan  yang menunjukkan sedikit prestasi meningkat. Pada bulan Januari 1899, harga kopi di pasaran dunia hanya $18.25 sepikul dan semakin menurun kepada $15.50 sepikul dalam bulan Ogos tahun yang sama, menjadikan pengeluaran kopi oleh ladang-ladang tidak mendapat keuntungan.  Pasaran antarabangsa terutama di Eropah tidak menunjukkan sebarang permintaan. Pasaran Eropah lebih memilih kopi Arabica berbanding Liberica. 

Penularan wabak penyakit kopi Hemileia Vastatrix menyerang pokok-pokok kopi di Selangor dalam tahun 1900. Burung gagak yang sinonim dengan bandar Klang itu sebenarnya dibawa masuk oleh seorang peladang inggeris, Edward Valentine John Carey. Beliau membawa spesis gagak ini pada tahun 1902 dari Ceylon bagi tujuan mengawal serangan ulat keatas tanaman kopi yang beliau usahakan di Pulau Carey . Namun usaha ini tidak begitu berkesan dan gagak terus membiak. Makin lama makin membiak sehinggalah gagak mula dianggap sebagai burung yang pengotor, mengotorkan dan menyusahkan. Selepas itu industri kopi mula merudum. 

Dalam tahun 1901 hingga 1904, tidak ada tanah baru yang dibuka untuk penanaman kopi. Bahkan jumlah pengeluaran kopi juga semakin berkurangan. Di Selangor, 32,325 pikul biji kopi dieksport pada harga $21.17 setiap pikul. Hal ini memaksa peladang dan pekebun kopi di Malaya beralih kepada tanaman alternatif dan berpotensi tinggi, iaitu getah. Oleh sebab kejatuhan harga kopi tidak dapat dihalang, maka ramai peladang menebang pokok kopi mereka bagi memberi ruang kepada pokok getah mereka yang sedang membesar.  Menjelang dekad pertama kurun ke-20, ramai peladang Eropah meninggalkan kopi untuk menanam getah kerana usaha yang singkat serta waktu yang kurang untuk mendapat hasil. Oleh hal tersebut, getah telah menjadikan industri kopi merosot. Tahun 1906 merupakan turning point bagi sejarah industri kopi kerana menerima saingan daripada industri getah.

SEJARAH PENANAMAN KOPI DI KUALA LANGAT

Keadaan tanah di daerah ini amat sesuai ditanam buah kopi Liberica. Selain faktor iklim, pokok berkenaan sesuai ditanam di kawasan tanah rendah. Petani-petani di Kuala Langat mula menanam kopi kerana permintaan dan harga yang tinggi di Malaya. Penanaman kopi seluas 12 ekar di lereng Bukit Jugra oleh petani Tamil yang diberikan bantuan $100 oleh Pejabat Pemungut Hasil Kuala Langat pada tahun 1889 merupakan bukti terawal permulaan kopi bertapak di Kuala Langat. Penghulu-penghulu di beberapa mukim di Kuala Langat turut menggalakkan anak-anak buah mereka menanam kopi. Hasilnya, petani-petani di Kelanang, Jugra dan Telok Panglima Garang mula menukar atau menyulam kebun-kebun kelapa mereka dengan  pokok kopi yang didapati  amat subur dan sesuai dengan jenis tanih bergambut mereka. Di sepanjang laluan dari Sepang ke Reko, petani-petani Jawa dan Cina menanam pokok kopi jenis Liberian coffee. 

Bagi setiap ekar, mereka boleh memperoleh $30-$40 sepikul berbanding dengan bersawah yang hanya dapat memberikan $8.50 bagi setiap 100 gantang padi atau $34 seekar. Lagipun, tidak banyak kerja perkebunan yang perlu dilakukan di kebun kopi berbanding kerja-kerja pengairan, penanaman dan menuai padi..

Dalam tahun 1894, di Kuala Langat, di sepanjang perkampungan Jelutong, Katong, Raba, Tampoi, Arak dan Kelanang, iaitu laluan ke pesisir pantai, didapati banyak pokok kelapa ditebang untuk digantikan dengan pokok kopi. Bahkan di tanah-tanah milik orang Jawa yang ditinggalkan atas sebab tidak mampu membayar pinjaman kerajaan dan gangguan gajah liar juga diberikan kepada pemohon lain untuk ditanami kopi. 40 ekar tanah baharu di Kuala Langat akan ditanami kopi oleh pemilik mereka yang terdiri daripada bangsa Cina, Jawa dan Melayu tempatan. Keutamaan diberikan kepada pemohon-pemohon tanah baharu untuk membuka kawasan hutan sepanjang Kuala Langat ke Klang bagi tujuan penanaman kopi. 

Di Kuala Langat, dalam penghujung tahun 1895, permohonan tanah untuk 6 lot seluas 320 ekar setiap satunya diperuntuk kepada Peladang Eropah termasuk Mr. Carey. Pejabat Daerah Kuala Langat terus menerus menerima permohonan tanah daripada orang Cina dan Jawa untuk penanaman kopi. Dalam tahun 1896, 800 ekar tanah, ditambahi 200 ekar lagi dibenarkan dibuka oleh orang-orang Jawa Kelanang berikutan kejayaan mereka mengerjakan tanah di sana sebelum ini di bawah pimpinan dan pengawasan  ketua mereka, Haji Taib. Berikutan pembatalan rezab tanah untuk peladang Eropah  50 orang Cina telah berjaya dalam permohonan mereka membuka tanah untuk penanaman kopi di  perkampungan baharu Telok Besar dalam mukim Tanjung Dua belas,

Dalam tahun 1897, Kuala Langat lebih berjaya menarik permohonan tanah baharu untuk penanaman kopi berbanding daerah-daerah lain. Seluas 3,560 ekar  dibuka di seluruh daerah Kuala Langat. Tanah di Kelanang paling sesuai kerana keadaannya yang tidak lembap, kering dan tidak memerlukan banyak kerja-kerja perparitan. Pada tahun 1898, 255 daripada 370 ekar yang baharu dibuka di Kuala Langat terletak di mukim Kelanang. Tanah-tanah ini ditanami pokok kopi kelas pertama. 

Di Sepang, pembukaan kebun-kebun kopi adalah pada skala yang lebih kecil. Tiada pembukaan ladang kopi di Sepang. Kebanyakan kebun-kebun kopi ini  di dalam kawasan hutan yang baharu diteroka, agak jauh dari rumah-rumah mereka. Satu laluan baharu dibuka menyambungkan kampung Chinchang dan kampung terdekat di Bukit Ibul dengan jarak 4 batu (6.5km). Malangnya kebanyakan kebun-kebun kopi kaum Melayu terbiar tidak terbela setelah ditanam dan mereka hanya menunggu setahun dua lagi untuk dipetik hasilnya. 

Minat Sultan Selangor, Sultan Alaudin Sulaiman Shah dalam bidang pertanian terutama dalam penanaman kelapa dan getah, memungkinkan kerancakan pembukaan banyak tanah hutan termasuk di Pulau Sialang (Pulau Carey kini). Sebenarnya, Kuala Langat merupakan daerah pertanian dengan pelbagai jenis tanaman di tanam di sana. Antaranya ialah, koko,kopi, getah dan kelapa.

Berikutan kejatuhan harga kopi sedunia, maka pada tahun 1898, pihak kerajaan menghapuskan duti eksport ke atas kopi. Walau bagaimanapun, nilai eksport kopi dari Kuala Langat pada tahun 1898 meningkat daripada $3,850 kepada $7,776.  Kejatuhan harga kopi juga disebabkan oeh serangan Bee Hawk Moth di mana daun-daun kopi habis dimakan oleh ulat beluncas.  Dalam tahun 1898, tiada lagi peladang Eropah yang berminat untuk meneruskan tanaman kopi, walaupun usaha ini masih diteruskan oleh pekebun Cina dan Melayu.

Sebenarnya penyelesaian kepada permasalahan tentang serangan ulat beluncas ke atas pokok kopi ini datang secara alami/biologi. Kajian menunjukkan kebun-kebun kopi di kawasan kelapa milik pekebun kecil Cina dan Melayu kurang diserang ulat ini berikutan kehadiran kerengga di pelepah-pelepah pokok kelapa. Kerengga-kerengga ini akan memakan telur-telur kupu-kupu ini yang bersarang di pokok kopi tersebut sebelum  menjadi beluncas. Cuma, kerengga-kerengga ini memberikan masalah kepada pemetik-pemetik kopi kerana sering digigit. Penyelesaiannya, musnahkan sarang kerengga terlebih dahulu sebelum kopi dipetik beberapa hari kemudian.

Untuk mengelakkan kerugian besar, para peladang mula menerima pakai nasihat H.N. Ridley yang memperkenalkan tanaman getah sebagai tanaman selingan di kebun kopi yang sedang mati itu. Banyak ladang mengintegrasikan tanaman mereka dengan kombinasi kelapa, kopi dan getah bagi menampung kos operasi kerana kejatuhan harga kopi di pasaran dunia. Dengan harga getah di pasaran Eropah bernilai 5 Schiling bagi berat satu paun, mereka dapat mengekalkan bahkan meningkatkan pendapatan syarikat. Ada juga ladang-ladang yang terus menanam kopi, ramie, gambir, lada hitam, tebu dan ubi kayu demi kelangsungan syarikat dan pekerja-pekerja mereka. 

(Catatan: 1 paun = 373.24 gram)

Terbukti kehadiran pokok kopi tidak mengganggu pertumbuhan awal pokok getah di kawasan ladang kopi diselingankan dengan pokok getah. Hanya setelah pokok getah membesar dan memerlukan ruang dan kawasan yang sepatutnya, maka barulah pokok kopi itu ditebang. Bukan hanya peladang Eropah yang mula memberikan perhatian kepada penanaman getah, malah pekebun Cina, Jepun dan Melayu juga berminat dengan getah. Walau bagaimanapun  ramai pekebun kecil di Kuala Langat masih menanam kelapa sebagai tanaman utama. Dalam tahun 1901, Jugra Estate kembali menanam kopi secara selingan dengan kopi dan getah. Denmark Estate juga menanam 60 ekar kebun kopi. Namun pada 1909, kesemua pokok kopi di ladang getah ditebang seluruhnya.  

Dalam tahun 1911, di Selangor, hanya 159 ekar sahaja yang masih ditanami kopi sepenuhnya sementara 9,575 daripada 11,313 ekar, kebun dan ladang  mengamalkan tanaman selingan antara kopi dan getah atau kelapa dan kopi. Di daerah Klang dan Kuala Langat, lebih 11,305 ekar ditanami kopi berbanding 4,617ekar dalam tahun 1910, termasuklah penanaman kopi robusta sebagai tanaman selingan di ladang-ladang getah. 

Di Telok Panglima Garang, rata-rata pekebun kecil termasuk ladang-ladang membiarkan kopi sebagai tanaman selingan sementara pokok-pokok getah membesar. Ada juga kebun-kebun kelapa menanam kopi secara bersulam. Hal ini menggembirakan mereka kerana selain mendapat dua punca pendapatan, mereka diberi bantuan kewangan  oleh kerajaan sehingga $10,000 bagi setiap jenis tanaman.

Dalam tahun 1912 Kerajaan Selangor menandatangani perjanjian MOU dengan 16 orang Residen kerajaan-kerajaan negeri FMS dan Negeri-negeri Selat, SS untuk pembukaan 10,000 ekar tanah hutan antara Morib dan Sepang secara percuma dengan kadar cukai tahunan 10 sen seekar dan tidak melebihi $1, tertakluk pada syarat dan terma. Antaranya, pemohon hendaklah menanam hanya pokok kelapa di ladang mereka, namun dibenarkan menanam kopi sebagai tanaman selingan. Biasanya kombinasi robusta dan getah serta gabungan liberica+kelapa menghasilkan pengeluaran yang lebih baik.  Kopi robusta cepat membesar dan berbuah tetapi kurang digemari kerana bermutu rendah. Liberica lebih diminati daripada robusta di pasaran tempatan. Sebuah ladang di Sungai Sedu juga menanam lebih 1000 ekar getah, 1000 ekar getah dan 700 ekar kopi.,

Dalam tahun 1913, Negeri-negeri Melayu Bersekutu, FMS mengeksport 12,252 pikul kopi berbanding 10,630 dalam tahun 1912. Menjelang akhir Perang Dunia Pertama (1915-1918), permintaan untuk getah berkurangan manakala permintaan untuk kopi dan padi meningkat. Dalam tahun 1927,walaupun kopi banyak ditanam tetapi permintaan tempatan jauh daripada mencukupi. Malaya terpaksa mengimport biji kopi dari luar. Malaya memerlukan pengeluaran kopi daripada 25,000 ekar kebun dan ladang kopi untuk memenuhi 100% permintaan pasaran tempatannya.

Bermula tahun 1928, Kuala Langat menjadi pengeluar utama kopi jenis liberica di Tanah Melayu yang majoritinya ditanam oleh pekebun-pekebun kecil Melayu dan Cina.  Penghujung tahun 1932, penanam diberi galakan untuk menjual kopi mereka dan bentuk biji kopi kering, bukan lagi biji kopi jambu (ceri) di pasaran, sekali gus tidak melalui orang tengah. Hal ini kerana harga biji kopi kering jauh lebih tinggi berbanding ceri kopi basah. Sebagai contoh harga biji kopi kering ialah $18 sepikul dalam tahun 1933 berbanding kopi basah iaitu $1.50 sepikul ($17  berbanding $1.15 sepikul dalam tahun 1932). Dalam tahun 1934, Kuala Langat terus merupakan pengeluar kopi utama di Selangor dengan kesemua 3,450 ekar pokok kopinya ditanam oleh pekebun-pekebun kecil.

Masih terdapat beberapa kekangan dalam usaha menenuhi permintaan kopi tempatan. Antaranya ialah cukai yang dikenakan ke atas kopi telah menyebabkan kos pengeluaran kopi di ladang meningkat sebanyak 50% walaupun harga kopi di pasaran sedia rendah. Bahkan kopi dari Sumatera dan Jawa jauh lebih murah kerana kerajaan Belanda mula memberikan subsidi kepada pekebun-pekebun kopi mereka.
 
Penanaman kopi di lereng Bukit Jugra oleh petani Tamil diberi bantuan $100 oleh Pejabat Pemungut Hasil Kuala Langat pada tahun 1889


Permohonan untuk tanah baharu bagi penanaman kopi di daerah Kuala Langat dalam laporan Pejabat Daerah 1895

Berita tentang penanaman kopi di Kuala Langat dalam tahun 1896


Penanaman kopi di Kelanang, Kuala Langat


Pembukaan tanah di Pulau Sialang (Pulau Carey) untuk pertanian dalam tahun 1898



Laporan penanaman kopi di Jalan Langat, Klang,
Telok Panglima Garang dan Rantau Panjang

Pengabaian kebun kopi oleh pekebun Melayu berbanding kaum lain dan ladang Eropah

Lagi berita tentang kopi di TPG

Penanaman kopi di daerah Sepang

Kejatuhan harga kopi memberi kesan kepada ladang-ladang kopi 

Pelbagai tanaman di Kuala Langat menarik minat Sultan Selangor

Gabungan kelapa,kopi dan getah dalam ladang-ladang di Kuala Langat


Tawaran hebat kerajaan Selangor untuk penanaman kelapa dan kopi di sepanjang pesisir pantai Morib hingga ke Sepang

Pemandangan indah dan mengharumkan di TPG ketika pokok-pokok kopi berbunga



Ladang kelapa untuk dijual

Bangsal menjemur dan menyimpan kopi kering milik pekebun Cina


Kepelbagaian tanaman termasuk koko di Kuala Langat

Nasihat HN Ridley tentang selingan getah di kebun kopi dan kelapa menjadi ikutan peladang dan pekebun

l/5 Laporan tentang kerosakan kebun kopi di Kanchong dan Jalan Morib akibat banjir dalam tahun 1899

2/5 Laporan tentang kerosakan kebun kopi di Kanchong dan Jalan Morib akibat banjir dalam tahun 1899

3/5 Laporan tentang kerosakan kebun kopi di Kanchong dan Jalan Morib akibat banjir dalam tahun 1899

4/5 Laporan tentang kerosakan kebun kopi di Kanchong dan Jalan Morib akibat banjir dalam tahun 1899
5/5 Laporan tentang kerosakan kebun kopi di Kanchong dan Jalan Morib akibat banjir dalam tahun 1899

Perkembangan Komoditi Kopi Pasca Perang dan Kemerdekaan

Setelah tamat Perang Dunia Kedua (1941-1945) dan seterusnya kemerdekaan negara (1957), terdapat usaha-usaha mengembalikan serta melindungi industri kopi negara. Pada tahun 1950, hanya ada 5,000 ekar sahaja kebun kopi di daerah-daerah pantai Selangor (Kuala Langat, Klang dan Kuala Selangor) yang masih tinggal. Kemudian, dalam tahun 1962, meningkat kepada 11,000 ekar kebun kopi di ketiga-tiga daerah. Bahkan, setahun selepas itu, iaitu pada tahun 1963, lebih 20,000 buah kebun kopi dibuka. Benih kopi dari Kuala Langat ini dikatakan yang terbaik sehingga ramai pekebun luar Selangor membuat pesanan untuknya.

Dalam tahun 1962, Kerajaan negeri meluluskan permintaan tanah baharu di Bukit Cheeding kepada sebuah syarikat koperasi untuk tanaman kopi. Pelbagai projek kerajaan seperti pembinaan jalan-jalan raya dalam kampung dan kebun untuk memudahkan pengangkutan hasil-hasil kebun seperti kopi, kelapa dan tanaman lain. Kerajaan juga  mendalamkan parit sedia ada dan tali air bagi mencegah banjir.

Beberapa buah syarikat kerjasama mengadakan pelbagai aktiviti ekonomi termasuklah menternak dan memasarkan ayam serta membeli kopi, kelapa dan hasil-hasil lain. Melalui syarikat kerjasama atau koperasi, kerajaan membantu pekebun kopi di Kuala Langat memproses dan memasarkan jualan mereka. Kopi Selangor terutamanya dari Kuala Langat, Klang dan Kuala Selangor mendapat permintaan tinggi dari Singapura kerana dikatakan kopi terbaik di Malaya. 

Dalam tahun 1963, kopi kembali menjadi perhatian para pekebun. Harga komoditi kopi pada tahun tersebut adalah pada $92 sepikul, lebih tinggi berbanding harga sebelumnya. Pengeluaran kopi di Selangor meningkat dan dapat memenuhi permintaan di seluruh negeri ini, tetapi tidak bagi seluruh negara. Selebihnya dieksport ke Singapura atas alasan kopi Selangor merupakan kopi terbaik di Malaysia.  Malaysia hanya  mampu mengeluarkan 4,000 tan kopi daripada 15,000 tan permintaan untuk kopi setahun. Kerajaan membelanjakan $9 juta ringgit setahun untuk mengimport kopi dari luar negara serta memberi perlindungan kepada pengusaha kopi tempatan daripada persaingan kopi dari Sumatera. Namun, harga kopi yang lebih rendah dari tanah seberang Selat Melaka ini  menarik perhatian penyeludup kopi ke negara ini dan menggusarkan para pekebun kopi. 

Ramai daripada mereka mula beralih kepada tanaman lain walaupun ada jaminan kerajaan untuk mengenakan duti import yang lebih tinggi ke atas kopi import dan bantuan kepada para pekebun kopi. Serangan ulat hitam di Kg. Sungai Lang berpotensi merosakkan kebun-kebun kopi penduduk  di sana jika tidak diambil tindakan segera. Pada masa yang sama kerajaan juga menggalakkan penduduk di Kuala Langat untuk menukar tanaman kelapa mereka kepada kelapa sawit. Ramai petani yang telah menukar tanaman kopi dengan tanaman kelapa sawit kerana beberapa faktor antaranya harga kopi yang tidak menentu, pulangan dari hasil kopi yang kurang memberangsangkan, kerja-kerja mengutip buah kopi yang leceh, aktiviti memproses kopi yang lama dan persaingan dengan tanaman lain. Tambahan pula, permintaan dunia untuk minyak sawit lebih terjamin berbanding kopi dan kelapa di samping harga yang lebih stabil.Sebenarnya kerajaan tidak lagi memberikan bantuan kewangan secara langsung kepada pekebun-pekebun kopi, tetapi bantuan disalurkan melalui Jabatan Pertanian dalam bentuk khidmat nasihat penanaman, perbekalan anak benih pokok, pinjaman alat-alat pertanian untuk membasmi serangan penyakit ke atas pokok kopi. Bantuan juga disalurkan melalui kesatuan-kesatuan pekebun yang ada. 

Terdapat sebuah kilang kopi yang didirikan di Kg. Labohan Dagang sejak tahun 1959. Ketika itu Kuala Langat masih merupakan pengeluar kopi utama. 60% daripada keluasan Sijangkang (2,500 ekar) ditanami kopi. 5000 penduduk Sijangkang bergantung sepenuhnya kepada hasil komoditi ini. Pembinaan kilang kopi juga dirancang di Sungai Lang pada tahun 1965 dengan belanja $17,000.. 

Pekebun kopi diminta menjadi ahli syarikat-syarikat kerjasama bagi meningkatkan pendapatan mereka. Melalui kilang ini kopi-kopi jambu (ceri) akan dibeli daripada pekebun dan akan diproses di kilang untuk dijadikan kopi beras (biji kopi kering). Bagi menjamin bekalan kopi berterusan, pihak koperasi akan membeli lori  untuk membeli, mengangkut kopi-kopi daripada koperasi-koperasi lain  dan pekebun-pekebun kopi persendirian di seluruh Kuala Langat. Malangnya, kilang kopi di Sungai Lang mengalami kerugian akibat pasaran semakin mengecil serta ruang menjemur biji kopi yang terhad. Berikutan hal itu, mereka merancang untuk mengeluarkan serbuk kopi jenama mereka sendiri.

Pada tahun 1966, sebanyak 2,700 tan kopi bernilai lebih $4 juta diimport. Dalam tahun 1967, Selangor mengeluarkan antara 30,000 hingga 40,000 pikul kopi setiap tahun. Daerah-daerah pengeluaran kopi di Selangor mengeluarkan 50% daripada permintaan tempatan, kira-kira 40,000 pikul kopi setiap tahun. Kira-kira 2,700 tan kopi dari Indonesia diimport melalui Singapura. FAMA menggalakkan pekebun mengintegrasikan tanaman kopi dengan nenas, jagung dan kelapa. Kerajaan memberi mereka subsidi sebanyak $300 dan sekiranya menanam semula pokok kopi mereka dibayar $500. MARA juga diminta membantu membeli serta memasarkan kopi-kopi pekebun kecil berikutan keengganan sesetengah pemborong membeli biji-biji kopi pada harga pasaran semasa. Namun, FAMA dan MARA ditegur kerana gagal memantau dan membantu pekebun kopi dan tanaman lain, sebaliknya hanya menumpukan kajian dan pemasaran padi sahaja. 

(Catatan: 1 tan=0.05 tan metrik@50kg)

Pada tahun 1950-an hingga 1980-an, daerah ini dipenuhi ladang kopi kerana rata-rata penduduk tempatan menanam kopi bagi menampung kehidupan keluarga. Semua orang kampung menanam pokok kopi sebab mudah dijaga. Dalam tahun 1977, harga kopi basah mencecah $50 bagi setiap 60kg berbanding $7 atau $8 sebelumnya. Kopi kering pula bernilai $250 untuk berat yang sama. Berikutan kenaikan harga kopi yang mendadak ini, berlaku banyak kes kecurian sehingga memaksa pekebun mendirikan khemah berjaga di kebun masing-masing. Kini, kebanyakan kebun kopi di Kanchong Darat dan  hampir seluruh perkebunan kopi di Kuala Langat telah bertukar kepada tanaman kelapa sawit dan kawasan perumahan.

Kilang Kopi Anggerik Milik FAMA

Menyorot sejarah kilang kopi milik FAMA di Jalan Pulai Kanchong Darat, Banting di Selangor, Fama Corporation (Famaco) Sdn. Bhd. ditubuhkan pada 22 Januari 1974 oleh Datuk Seri Harun Idris yang pada ketika itu Menteri Besar Selangor. Ketika itu, daerah tersebut merupakan kawasan pengeluaran biji kopi jenis Liberica yang terbesar di Malaysia dengan keluasan tanaman sekitar 6,800 hektar Asalnya kilang tersebut sekadar berfungsi sebagai pusat pengumpulan kopi penduduk sekitar untuk memasarkan hasil daripada tanaman mereka, 

Buah kopi yang ranum boleh dipetik dalam dua tempoh berbeza iaitu dari bulan Mac hingga Jun dan September hingga Disember. Buah kopi yang berkualiti berwarna merah dan sedikit kekuningan dan berbau harum. Musim paling tepat untuk memetik buah kopi ialah pada bulan Mac hingga Jun diikuti September hingga Disember. Selepas hampir separuh abad menghasilkan beras kopi melalui teknik tradisional, kini perusahaan tersebut seumpama di hujung tanduk. 

Jika dahulu, setiap beras kopi itu dihantar kepada pengilang terutama di Taiping, namun kini, Kilang Kopi Banting di bawah pengurusan Pembangunan Industri Asas Tani (Kopi) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menghantar buah kopi untuk diproses kepada beras kopi. Setiap kali menerima 10 hingga 20 kilogram (kg) buah kopi, perkara asas yang dilakukan ialah mengasingkan buah kopi yang baik sebelum setiap buah berkenaan dikeringkan. Proses pengeringan sangat mudah iaitu sekadar meratakan semua buah kopi berkenaan di atas simen yang dibuat seperti batas di bawah matahari yang terik. Semua buah kopi dibiarkan selama enam hingga tujuh hari sehingga kering sebelum dimasukkan ke dalam mesin pecah angin yang bertujuan mengasingkan beras kopi.

FAMA akhirnya mengambil keputusan untuk memulakan aktiviti pemprosesan serbuk kopi campuran di bawah penjenamaan Anggerek. Rumusan kopi Anggerek secara tradisi tersebut sebenarnya telah dihasilkan secara turun-temurun sejak 30 tahun lalu oleh FAMA di kilangnya yang terletak dikawasan Kanchong Darat, Banting, Selangor. Difahamkan pada ketika itu Banting masih memegang gelaran pengeluar tanaman kopi Liberica terbesar di Malaysia.

Kelebihan beras kopi Liberica terletak pada aromanya yang berbau wangi. Malah, kebanyakan produk kopi keluaran FAMA menggunakan kira-kira 10 peratus beras kopi Liberica manakala selebihnya adalah kopi jenis Robusta. Warna beras kopi Liberica kekuningan dan keemasan sudah cukup melambangkan betapa enaknya kopi itu sekiranya diadun sebagai minuman. Jenis biji kopi yang digunakan ialah Liberica dan Robusta. Bagi pasaran tempatan, kopi jenama Anggerek mempunyai peminatnya yang tersendiri. Asas kepada rahsia dan kandungan setiap kopi pracampur tiga dalam satu dan kopi campuran yang dihasilkan kilang ini bergantung kepada pembuatan serta adunan kopi Anggerek, 

.























          Harga kopi (jambu) pada tahun1968 hanyalah sekitar 5 dan 6 sen sekati (600gram).


Perasmian tapak kilang kopi di Kanchong Darat oleh Menteri Pertanian dan Koperasi,
En. Khir Johari dalam tahun 1964 





Kilang Kopi FAMA di Banting

Kopi Anggerek dipelbagaikan variasinya

Kopi-kopi keluaran FAMA di Banting

MASA DEPAN INDUSTRI KOPI MALAYSIA

Harga kopi di pasaran tempatan adalah dipengaruhi oleh beberapa faktor dalaman dan luaran. Faktor-faktor dalaman yang mempengaruhi harga biji kopi ialah gred kopi, kaedah pemperosesan biji kopi dan margin pemasaran. Faktor luaran pula ialah status penawaran dan permintaan di peringkat antarabangsa.

Antara negeri di Malaysia yang menjadi pengeluar utama biji kopi adalah Sabah, Johor dan Selangor. Walau bagaimanapun, Malaysia hanyalah menyumbang sekitar 0.16% produksi kopi di seluruh dunia yang mana ia berada di tangga ke 60 secara global. 

Setakat ini tanaman kopi di Malaysia masih kurang memuaskan dari segi pengeluarannya disebabkan oleh harga biji kopi yang tidak stabil. Ini juga menyebabkan perusahaan kopi tidak diusahakan secara komersil dan hanya secara kecil-kecilan sahaja. Malaysia juga masih lagi merupakan negara pengimport biji kopi  mentah dan produk-produk berasaskan kopi. Malaysia kini hanya mampu mengeluarkan biji kopi mentah sekitar kurang dari  5.3% untuk keperluan tempatan manakala sebanyak 94.7% biji kopi mentah adalah diimport. Nilai import juga menunjukkan peningkatan dari  RM 767.7 juta pada tahun 2011 kepada RM1.243 bilion pada tahun 2016.  Dianggarkan sebanyak 100,000 tan metrik biji kopi mentah diimport setiap tahun untuk kegunaan kilang tempatan bagi menghasilkan produk berasaskan kopi seperti  minuman segera 3 dalam satu, white coffee, black coffee dan sebagainya. 

Produk-produk ini dihasilkan sama ada untuk kegunaan tempatan dan juga dieksport. Harga kopi di pasaran tempatan juga dipengaruhi oleh beberapa faktor dalaman seperti gred kopi, kaedah pemprosesan dan margin pemasaran manakala faktor luaran ialah seperti status penawaran dan permintaan di peringkat antarabangsa. Manakala nilai eksport juga didapati meningkat dari RM962.5 juta pada tahun 2011 kepada RM1.734 bilion pada tahun 2016.

Penggunaan per kapita kopi di Malaysia adalah sebanyak 0.86 kg seorang setahun dengan anggaran jumlah penggunaan kopi di Malaysia sebanyak 27,250 mt setahun. Namun, tahap penggunaan kopi dalam kalangan penduduk Malaysia masih tidak jelas kerana kurang kajian mengenainya. Gelagat pasaran, persepsi dan tahap pengetahuan mengenai kopi di Malaysia perlu dilakukan berikutan kopi merupakan antara industri utama di Malaysia. Di Malaysia pula, kopi merupakan komoditi kedua terbesar yang diperdagangkan di dunia selepas petroleum. Malaysia juga banyak mengimport kopi terutamanya dari Indonesia.

Maklumat tentang Jenis kopi di dunia







Tanaman kopi telah dikenalpasti sebagai salah satu daripada komoditi pertanian yang diberi perhatian oleh kerajaan di dalam RMK11 (2016-2020). Dengan permintaan kopi yang tinggi, pengeluaran kopi negara perlu ditingkatkan lagi bagi menampung permintaan tersebut. Bagi mencapai tujuan tersebut, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk tempoh RMK11 bagi memperkasakan lagi industri kopi negara. Pelbagai program pembangunan kawasan kopi telah dilaksanakan termasuklah  menggalakan penanaman semula bagi menggantikan pokok-pokok yang telah tua dan tidak lagi produktif dengan variasi kopi yang berhasil tinggi seperti MKL5, MKL6 dan MKL7. Projek-projek Pemulihan kebun kopi juga dilaksanakan dengan tujuan memulihkan pokok-pokok kopi yang masih produktif bagi  meningkatkan hasil. Wallahu alam.


Rujukan:





  




Sejarah Menarik Rumah Rehat Tampin dan Gemas

Salam buat semua. Hari ini, Khamis, 28 November 2024. Hari ini Atok dan Wan tak ke mana-mana. Hanya duduk kat rumah menanti anak-anak kami p...