Salam buat semua. Entri aku kali ini menghimbau
kenangan masa kanak-kanak aku ketika di Telok dulu. Sememangnya aku anak jati
Telok. Lahir dan dibesarkan memang di Telok. 100% anak jati Telok, Cuma jangan
panggil aku orang asli Telok dah ler. Itu Sakai namanya…HAHAHA.
Semalam aku
balik ke Telok sekejap kerana menghadiri majlis perkahwinan anak saudara di
Shah Alam. Aku ambil kesempatan balik menjengok kakak di kampong sebelum ke
Shah Alam untuk majlis tersebut. Jadi pagi-pagi tu aku round kampung,
tengok-tengok kemajuan pesat di Telok. Aku kagum bercampur sedih dengan
perkembangan di Telok. kagum kerana
Telok kini setaraf bandar satelit untuk Klang sebagaimana Petaling Jaya kepada
KL tahun 1950-an dulu. Kemajuan Telok, semenjak kilang pertama dibina di Batu
10 itu pada awal 1970-an, begitu
mendadak. Semakin hari semakin ramai orang luar menetap di sini. Bukan aku tak
suka Telok bertambah manusia, Cuma aku takut Telok akan kehilangan identitinya
selepas ini. Kalau dulu (sebelum 80-an) selepas batu 7 Sijangkang, Telok
terputus dengan Klang oleh hutan simpan sehinggalah ke batu 5 Kg. Johan Setia
dan seterusnya estet kelapa sawit (Bukit Tinggi Estate) sehinggalah ke Simpang
lima Klang. Tapi kini sudah tiada lagi sempadan fizikal. Pembangunan di Klang
seolah-olah bersambung tanpa henti ke Telok hingga ke Banting.
Sememangnya Telok wujud sejak zaman sultan Selangor
bersemayam di Jugra suatu masa dahulu. Kalau tak silap aku, TelokPanglima
Garang ini sudah wujud sebelum 1850-an
lagi . Hal ini disahkan oleh catatan Inggeris pada masa itu. Tapi keduduukan
Telok masa itu bukanlah sebagaimana Telok masa sekarang. Telok masa itu
memang dekat anak sungai yang masuk ke
Sungai Langat. Untuk lebih tepat lagi sekitar Telok Mengkuang, iaitu tapak asal
Taman Datok Hormat. Sebelum ini, di sepanjang sungai itu merupakan hutan nipah Orang
dulu-dulu buat rumah atas tebing sungai yang berlumpur, ataupun mungkin di atas
tanah darat yang kering tetapi masih hampir dengan sungai. Maklumlah sungai memang
nadi utama kehidupan dan pengangkutan masa itu. Makan minum , berak kencing semuanya dalam rumah atas air itu. Lagipun hutan kat Telok
dulu hutan tebal…harimau memang banyak berkeliaran. Tak selamat untuk duduk dan
tinggal di tepi hutan.
Bayangkanlah sebelum 1875, Cuma 20 orang sahaja yang
menetap di Telok. Tapi selepas itu, selepas tamat Perang Saudara di Selangor, kerana rakyat sudah merasa aman,
mereka balik semula menetap di Telok.
Masa itu penduduk Telok meningkat seramai 200 orang. Tapi aku masih yakin
mereka masih tinggal di rumah di tebing sungai kerana masa itu tiada sebarang
perhubungan darat ke Klang atau ke tempat lain kecuali melalui jalan sungai.
Buktinya di kebun pusaka aku, di Batu 11 Telok, kira-kira 50 meter dari tebing
sungai terdapat perkuburan lama. Aku pasti kubur-kubur di situ telah wujud
sebelum tanah perkuburan yang ada sekarang, iaitu di Jalan Kubur atau jalan
masuk ke Kampung Bom diwartakan, iaitu kira-kira awal 1920-an. Aku sure pasal aku pernah terbaca tulisan
pada salah satu batu nesan di situ
tertulis tahun 1905. Jalan darat dari Jugra ke Klang hanya wujud zaman Inggeris
memerintah, sekitar tahun 1890-an. Jadi sungai ler segala-galanya.
mungkin beginilah rupa petempatan di TPG awal tahun 1920-an dahulu
mungkin juga kehidupan mereka sedikit sebanyak begini
Walaupun kecil, sungai ini merupakan punca rezeki
sebagai nelayan sungai untuk saudara mara aku dan sebahagian penduduk dari Batu 11 hinggalah ke
Kg. Simpang Bandar. Memang masa dahulu dalam sungai ini banyak ikan dan udang. Pernah
aku mengail sembilang dari atas sampan ketika air mula pasang. Banyak juga yang
aku dapat. Ketika air surut pulak aku dengan kawan-kawan terutamanya Ajis dan
Seman Malik turun menangguk udang kat tepi tebing. Banyak jugak dan kasar-kasar
jugak saiznya. Kalau buat sekali makan, cukup ler sekeluarga.
Sesungguhnya rezeki, ajal, maut dan jodoh di tangan
Allah. Dari sungai inilah ramai penduduk Telok termasuk arwah atuk aku, Ontu (Orang
Tua) Malik, Ontu Lias dan yang lain menyambung kehidupan seharian. Pagi-pagi lagi,
selepas solat Subuh mungkin diorang dah
keluar menetak daun nipah, lebih kurang pukul 11 pagi,bawa balik daun nipah, mengkawan
(sebagai batang tulang, dan atap), batang bemban (sebagai penyemat atap) atas
basikal tua ke rumah. Sampai dekat
rumah, isteri dan anak-anak perempuan pulak yang ambil alih menyemat daun
sehingga menjadi atap Atap-atap disusun untuk dijual kepada peraih. Selepas
jual atap-atap yang telah siap itu, barulah dapat atuk aku ke kedai untuk
membeli ikan dan bahan dapur untuk dimasak sebagai makanan petang.Dah biasa dah
makan dua kali sahaja dalam sehari, pagi dan petang. Lepas itu, barulah atuk
aku berehat sebentar sebelum solat
Zohor. Kadang-kadang, lepas zohor, diorang turun semula ke sungai untuk
menangguk udang atau memancing ikan sebagai lauk tambahan. Begitulah rutin
hidup seharian orang kampong di Telok masa itu, cukup sederhana.
Untunglah dan bersyukur kami sekeluarga kerana moyang
perempuan aku ada tanah seluas enam ekar. 2 ekar ditanam getah, 4 ekar lagi pokok kopi bercampur pokok buah-buahan.
Dapatlah hasil getah dan kopi menampung kekurangan kewangan yang ada. Pokok-pokok
getah itu ditoreh secara upah oleh pekerja India sekeluarga bernama Antoni,
Sussai, Chinappo dan Maraye. Taat setia betul mereka bekerja dengan keluarga moyang aku
sejak muda lagi. Mereka bina rumah kecil dalam kebun moyang aku itu. Syukurlah,
Antoni ini masuk Islam dengan bantuan bapa saudara aku, hampir setahun sebelum kematiannya
Di sungai
kecil inilah tempat aku dan kawan-kawan bermandi-manda lepas balik dari sekolah
atau masa cuti sekolah. Alor sungai ini taklah besar sangat, kira-kira 10 meter
(30 kaki) dari tebing ke tebing. Tempat paling dalam sekitar 7 meter atau 20
kaki ketika air pasang. Pernah satu ketika, masa itu aku di darjah 6, aku
hampir lemas. Tengah sedap-sedap mandi dan menyelam, aku terperangkap bawah
salah satu sampat yang ditambat di situ. Aku panik kerana kepala aku berada di
bawah sampan. Mujurlah abang Kudin anak Pok Long Lias menarik aku daripada
bawah sampan itu. Kalau tidak, dah lama arwah dah. Kekadang, aku, Seman, Ajis
dan abang Kudin akan mendayung sampan milik Ontu Lias, bapa Bang Kudin sampai
ke Kg. Simpang. Bukan untuk memancing, tapi saja-saja ronda-ronda kawasan
Di tebing sungai itu dulu ada sebatang pokok
rambutan. Tapi buahnya masam dan tidak longkah ( isi tidak lengkang daripada
biji). Jadi kitorang pun tak heran untuk memakannya. Buah rambutan itu kini menjadi habuan lotong-lotong yang banyak
di hutan nipah kat situ. Tapi aku ini memang suka menyakat lotong-lotong itu
ketika ‘diorang ramai-ramai kekahkan rambutan itu. Masa itulah aku dan
kengkawan menjerit-jerit menghalau lotong-lotong itu. Maka bertempiaranlah ‘mereka’ menyeberang
balik ke tebing sungai dengan memanjat pokok-pokok nipah sebelum bertenggek
memandang kami dari atas pokok api-api. Ketika itu ada seekor ibu lotong
mendukung anaknya yang berpaut di perutnya turut lari ke seberang sehingga
anaknya terjatuh dari pelukannya terus ke dalam sungai yang sedang pasang. ‘Dia’
merenung tajam ke arah aku sebelum turun mengambil dan menyelamatkan anaknya yang sedang lemas.
Aku terharu dan sebak melihat kejadian itu. Betapa Allah mempertontonkana aku kasih
sayang seorang ibu terhadap anaknya. Aku menjadi insaf dan bertaubat kepada
Allah dan berjanji tidak akan berlaku zalim terhadap makhlukNya yang lain.
Kadang-kadang
apabila tiba musim manggis, aku akan memanjat pokok manggis yang paling tinggi
dalam kebun atuk aku, petik dan makan buah manggis sambil memperhatikan kawasan
sekeliling dari atas pokok tersebut. Luas juga hutan nipah yang kini menjadi
kawasan Taman Datok Hormat. Tapi itu semua hanya tinggal kenangan manis buat
aku dan bebudak Telok tahun 70-an dulu yang kini dah bergelar otai (Old Timer). Di situlah tempat
kami bermain dan mandi manda sehinggalah
awal tahun 1980-an bila mana kerajaan
ambil keputusan membina parit dan benteng (bund) bagi mengeringkan kawasan
berpaya nipah itu untuk dijadikan tapak perumahan dan kawasan kebun pertanian.
Tanah pertanian di Jalan Perepat, Taman Dato' Hormat
Perhatikan pokok nibong itu, tanda pernah wujud kawasan paya di sini
kawasan pertanian yang masih bertakung air menunjukkan sememangnya bekas hutan paya
Kawasan sisa alur sungai yang masih wujud di Jalan Perepat berhampiran Kg. Simpang Bandar
Anak sungai yang masuk ke sungai Telok(berhampiran Batu 11) sebelum ke Sungai Langat
Alhamdulillah
ramai anak penetak nipah dan yang tanah mereka bersempadan dengan sungai ini
menerima geran tanah daripada kerajaan di kawasan yang ditebus guna itu.
Keluarga atuk aku sahaja yang tidak minta kerana tiada seorangpun daripada
bapa-bapa saudara aku yang mewarisi pekerjaannya sebagai penetak daun nipah.
Lagipun atuk aku dah lama meninggal pada tahun 1974. Banyak juga tanah-tanah di
situ sudah dibangunkan secara usaha sama dengan pemaju perumahan untuk membina
rumah teres.
Kepada anak-anak Telok yang membaca jurnal aku ini,
begitulah keadaan kampong Telok kita sebelum korang lahir, suatu ketika dulu.
Assalamualaikum. Jumpa lagi.