Memaparkan catatan dengan label Melayu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Melayu. Papar semua catatan

Ahad, 17 April 2022

Sejarah Awal Pendidikan di Kuala Langat

Suasana  para pelajar Sekolah Melayu suatu masa dahulu.

Salam buat semua. Semalam Atok dah ceritakan sejarah panjang pendidikan negara secara umum. Begitulah serba ringkas dan secara umum sejarah pendidikan negara kita suatu masa dahulu. Okeylah cukup setakat itu. Sekarang izinkan Atok memfokuskan penulisan ini terhad kepada Kuala Langat sahaja. Atok nak kita concentrate tentang perkembangan Sekolah Melayu (kemudiannya dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan) hanya di Kuala Langat, bermula di Jugra sehinggalah dekad 1970-an. Walau bagaimanapun Atok akan sentuh sekolah-sekolah vernakular yang lain di daerah ini secara sepintas lalu sahaja. Untuk memudahkan korang faham perkembangan dunia pendidikan ini, Atok akan pecah-pecahkan mengikut mukim. Terdapat lapan buah mukim di Kuala Langat: Bandar, Batu, Jugra, Kelanang, Morib, Tanjung Dua Belas 1, dan Tanjung Dua Belas 2,  serta Teluk Panglima Garang.

Peta Kuala Langat: Mukim-mukim dalam daerah Kuala Langat

1. MUKIM JUGRA

Pada 1 Julai 1880,bermulalah era pendidikan Inggeris di Jugra, tempat bersemayamnya Sultan Abdul Samad. Sebuah rumah milik Mat Pendek dibeli oleh Inggeris untuk dijadikan Sekolah Melayu pertama di Kuala Langat. Asalnya sebuah sekolah telah didirikan di Bandar Temasha tiga tahun sebelum itu, iaitu pada 1877 tetapi dipindahkan ke pekan Jugra. Pada tahun berikutnya,  hanya terdapat 8 orang pelajar sahaja seperti nama-nama disebut dalam surat di bawah. Sebabnya ialah ibu bapa serta anak-anak mereka tidak berminat mengikuti pelajaran di sekolah Melayu tajaan Inggeris ini atas sebab Inggeris itu bukan beragama Islam dan mereka lebih suka jika anak-anak mereka belajar mengaji alquran dan kitab-kitab di surau dan masjid. Tambahan pula mereka memerlukan anak-anak lelaki mereka membantu mereka mengerjakan kebun. Keengganan mereka menghantar anak-anak ke sekolah Melayu ini menyebabkan Residen Inggeris ketika itu meminta alSultan memanggil ibu bapa terbabit dan menghukum mereka sekiranya alasan yang diberi tidak dapat diterima.

Pada tahun 1891, satu cadangan telah diterima untuk membaik pulih bangunan sekolah ini dan rumah Guru Besar dengan kos sebanyak $90.Laporan Jemaah Nazir menunjukkan pada 17 Disember tahun 1891, terdapat 36 daripada 40 orang pelajar yang berdaftar di Sekolah Melayu Jugra ini hadir ke sekolah. Dalam laporan itu disebutkan pencapaian sederhana para pelajar dalam pelajaran Menulis dan Geografi tetapi lemah dalam subjek Matematik. 

Dalam tahun 1895 bangunan sekolah yang baharu untuk Sekolah Melayu Jugra telah diluluskan dengan harga kontrak sebanyak $1400. Dalam tahun yang sama juga Raja Muda Sultan Alaudin Sulaiman Shah berhajat untuk menjadikan bangunan sekolah lama di Bandar Temasha itu dijadikan sebagai sekolah perempuan yang pertama di daerah ini. 

Dalam tahun 1898 seorang guru sandaran bernama Lambak bin Haji Ahmad dilantik menggantikan seorang guru bernama Mohamad Salleh yang telah memasuki Sekolah Latihan Perguruan di Taiping. En. Lambak akan dibayar gaji permulaan sebanyak $8 sebulan. Dalam bulan Jun 1902, seorang guru AlQuran bernama Mohamad Dawan diterima dan ditempatkan di Sekolah Melayu Jugra dengan gaji permulaan sebanyak $8 sebulan, berikutan perletakan jawatan oleh Sheikh Hassan. Pada 18 Ogos 1902 juga pihak Pejabat Pelajaran bersetuju membayar pampasan sebanyak $25.80 kepada balu seorang guru sekolah di Jugra, Abdul Kadir yang telah meninggal dunia di Melaka. Kuarters Guru di sekolah ini masih terus dibaiki pada tahun 1908.

Fail Pembelian Rumah Mat Pendek sebagai Sekolah Melayu Jugra dalam tahun 1880

Butiran Terperinci Pembelian Rumah Mat Pendek di Jugra pada tahun 1880

Senarai nama pelajar di Sekolah Melayu Jugra pada tahun 1881

Surat Meminta Campurtangan Sultan kerana keengganan Ibu bapa Menghantar anak-anak ke Sekolah Melayu tajaan Inggeris pada tahun 1883

Notis bertaip dalam Bahasa Melayu Roman mengenai keengganan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Melayu di Selangor (Edisi Asal 1883)


Pencapaian Para Pelajar Sekolah Melayu Jugra dalam peperiksaan pada 3/6/1883

Laporan Jemaah Nazir tentang Prestasi setiap Pelajar di Sekolah Melayu Jugra pada tahun 1883

Laporan ke atas Sekolah Melayu Jugra pada tahun 1891

Syor agar Sekolah Melayu Jugra dibaiki (14 Mei 1891)

Surat Kelulusan Pembaikan Bangunan dan Kuarters Guru di Sekolah Melayu Jugra (15 Februari 1892)

Laporan Nazir tentang Pengajaran Dan Pembelajaran di Sekolah Melayu Jugra (8 Januari 1892)

Kontrak Pembinaan Bangunan Baharu di Sekolah Melayu Jugra (20 Mac 1895)

Surat Makluman Sekolah Melayu Jugra di Kg. Bandar akan dijadikan sekolah sementara untuk pelajar Perempuan (18 September 1895)

Surat Pelantikan Guru Ganti (Pupil Teacher) di Sekolah Melayu Jugra (11 Mei 1898)

Surat Pelantikan Guru alQuran berkuatkuasa 1 Februari 1902 di SM Jugra

Surat Makluman Guru Sekolah Melayu Jugra yang meninggal dunia
 dan pampasan buat balu beliau  (18 Ogos 1902)

Surat Sokongan bagunan lama Sekolah Melayu Jugra dijadikan kuarters (7 April 1908)


2. MUKIM BANDAR

Kerajaan terus menjaga dan membaiki sekolah lama Bandar yang telah ditukarkan ke pekan Jugra itu. Pada tahun 1894, bangunan sekolah yang ditinggalkan itu dibaki Permohonan daripada Raja Muda bertarikh pada 23 Disember 1897 meminta didirikan dua buah sekolah yang berasingan, satu khusus untuk pelajar perempuan dan satu lagi untuk pelajar lelaki, termasuklah kuarters guru telah diajukan kepada Pejabat Residen Selangor di Kuala Lumpur Menurut kandungan surat tersebut,sekolah-sekolah ini akan ditaja sepenuhnya secara peribadi oleh baginda termasuk gaji guru, tidak termasuk pembelian perabot, buku-buku dan baik pulih sekolah. Baginda memperincikan rancangan baginda sebagaimana berikut:

Kos operasi bulanan sekolah tersebut :
  • Gaji  2 orang Guru Mengaji AlQuran sebanyak $20 seorang..........................   $40
  • Gaji seorang Pembantu Guru Wanita sebanyak $10........................................ $10
  • Gaji 2 orang Guru sebanyak $20 dan elaun sebanyak $3............................... .$46
  • Gaji Pemandu kereta lembu (pengangkutan pelajar perempuan).................... $16
  • Pengurusan sekolah (Lelaki dan Perempuan) ................................................ $70                                                                                        JUMLAH............................. $182            
Oleh itu, baginda memohon pinjaman sebanyak $2,000 dan akan dibayar kembali secara ansuran sebanyak $150 sebulan.  Kerajaan membenarkan penubuhan sekolah (Perempuan) itu di atas tapak lama Sekolah Melayu Bandar itu. Tender untuk pembinaan (renovasi) bangunan sekolah itu selama dua bulan dibuka dan dijalankan oleh kontraktor bernama Ong Seng. Pembinaan sekolah bagi pelajar perempuan telah dimulakan pada 2 Oktober 1899. 

Dalam tahun 1912, kerajaan menubuhkan Sekolah Melayu di Sungai Buaya. Tender pembinaan sekolah lengkap dengan kuarters Guru ini telah dikeluarkan pada 14 Februari 1912.Tapak bangunan asal sekolah adalah berhampiran dengan sungai. Kedudukan sekolah itu tidak sesuai kerana kerap dilimpahi air sungai yang berhampiran. Masalah murid datang ke sekolah jauh dari penempatan dan bahaya hakisan sungai.Pada tahun 1928 penjajah British telah membuka Sekolah Kebangsaan Sungai Buaya yang baharu.  Bangunan sekolah berpindah ke tapak yang baharu dan kekal hingga sekarang. Ia terletak kira-kira 1.5 kilometer dari sekolah asal. Bilangan muridnya seramai 30 orang dan guru seramai 3 orang. Dalam tahun yang sama juga, sekolah ini dilengkapkan dengan pembinaan perigi dan tandas. Pada tahun 1958 cadangan untuk pembinaan sebuah sekolah Agama di Kg. Sungai Buaya dikeluarkan. 
   
Tender Pembaikan Sekolah Melayu Lama Jugra untuk Sekolah Melayu Bandar (Perempuan)



Surat Permohonan daripada Raja Muda Raja Alaudin Sulaiman Shah kepada Residen Inggeris untuk pembinaan  bangunan dan kuarters kekal Sekolah Melayu (Perempuan) di Bandar dan pembiayaan kos operasinya.


Tender untuk pembinaan Sekolah Melayu Perempuan di Bandarmulai 2 Oktober 1899


Tender Pembinaan Sekolah Melayu Sungai Buaya bertarikh 29 Januari 1912



3. MUKIM KELANANG

Sekolah Kebangsaan Seri Lanang telah dibuka pada tahun 1890 sebagai Sekolah Melayu Kampung Kelanang oleh Tuan Haji Abd Hamid, Ketua  Kampung Kelanang yang pada masa itu mempunyai 50 orang murid dan 6 orang guru. Maklumat mengenai pembinaan sebuah sekolah Melayu di Kg. Kelanang telah dicadangkan dalam tahun 1919. Sekolah baharu ini dilengkapi bangunan sekolah dan kuarters Guru. Dalam tahun 1928, sekolah ini dibesarkan lagi dengan pembinaan kuarters bagi Pembantu Guru. Pada masa yang sama, sekolah ini dipimpin oleh Encik Mohamad Gantang sebai Guru Besarnya.




1

2
             Kerajaan telah membina bangunan baru ¾ batu dari Pekan Kelanang
            dan menamakan sekolah tersebut dengan Sekolah Kebangsaan Kelanang

3
           Dalam  RMK ke 2, sekolah ini telah menerima perutukan dari kerajaan untuk
           membina bangunan yang baru lebih kurang 1.5 km dari tempat yang asal.

4
Gambar kenangan bersama  staf, ibubapa dan penduduk kampung ketika majlis perasmian sekolah pada 1977.

Tender Pembinaan satu blok Bangunan 3 tingkat untuk
Sekolah Kebangsaan Kelanang dikeluarkan pada 27 Jun 1975


4. MUKIM MORIB

Cadangan untuk membina sebuah sekolah Melayu di Morib telah diwar-warkan pada tahun 1908. Rancangan ini diketepikan dahulu,sebaliknya pembinaan sekolah bersifat sementara dicadangkan, mungkin kerana bilangan penduduk dan pelajar yang tidak mencukupi. Bangunan sementara ini dikatakan berbumbung atap serta berlantaikan tanah sahaja, begitu juga rumah atau kuarters gurunya. Hanya pada tahun 1926 barulah sebuah bangunan sekolah yang baharu dan kekal berserta kuarters guru dibina. Seterusnya pada tahun 1950 beberapa bangunan baharu untuk sekolah ini dibina bagi menampung keperluan pelajar di kampung tersebut.

Cadangan Pembinaan Sekolah dan Kuarters Guru Sekolah Melayu Morib pada tahun 1908

Arahan Pembinaan Bangunan Sekolah yang bersifat sementara di Sekolah Melayu Morib (27 Januari 1908)

Kelulusan pembinaan Sekolah Melayu Morib dan Banting yang bersifat sementara dikeluarkan pada 26 Februari 1908

 Tender pembinaan Sekolah Melayu Morib dan Banting 


Senarai Kontraktor yang bersaing untuk mendapatkan Tender pembinaan Sekolah Melayu Morib dan Banting 



5. MUKIM BATU

Dalam tahun 1917, Sekola Melayu Batu Laut telah didirikan. Pada tahun 1925, tapak kekal untuk pembinaan sekolah Melayu serta kuarters Guru di Kg. Batu Laut telah dikenalpasti. Setelah dibuat kerja-kerja ukur tanah persempadanan, akhirnya bangunan sekolah ini telah dibina dalam tahun 1926. Dalam tahun 1929, sekolah ini diperbesarkan bagi menampung pertambahan pelajar. Sebuah sekolah Tamil dibina di Ladang Tumbok pada tahun 1955 untuk pelajar-pelajat India di estet tersebut. Sekolah Menengah Rendah Batu Laut pula telah didirikan dalam tahun 1966 dan  diperbesarkan pada tahun 1970 dengan pembinaan beberapa bangunan tambahan.






6. MUKIM TANJUNG 12 SATU

Sejarah Sekolah Melayu Banting bermula apabila pihak kerajaan mengeluarkan tender untuk pembinaan bangunan sekolah dan kuarters guru yang bersifat sementara pada 28 Februari 1908 dengan peruntukan sebanyak $3000. Pada tahun 1926, kerajaan memperuntukkan sebidang tanah untuk sekolah ini sebagai bangunan kekal.  Kemudian ini sekolah ini diperbesarkan l dalam tahun 1950. Pada Januari 1983, Sekolah Kebangsaan Banting telah ditutup untuk pengubahsuaian Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Langat/ Sepang . Murid- murid serta serta guru-guru sekolah tersebut telah berpindah ke sekolah SRK Seri Langat. Kedudukan sekolah ini yang berhampiran dengan penempatan ramai di samping prasarana yang lengkap serta terkenal di daerah Kuala Langat menjadikan sekolah ini pilihan utama masyarakat setempat. 


Pembinaan Sekolah Melayu Banting yang bersifat semenrara pada tahun 1908




Tender untuk Pembinaan Sekolah Melayu Banting dalam tahun 1908
















Tender Pembinaan Bangunan  Tambahan SMK Telok Datok pada 1972

                   Tender Pembinaan Asrama  SMK Telok Datok pada tahun 1973


7.  MUKIM TANJUNG 12 DUA

Pada tahun 1897. Sekolah Melayu Tanjung Dua Belas telah ditubuhkan. Berikutan itu,  pembinaan sekolah dan kuarters guru  telah dibina bulan April 1897. Pada tahun 1930 Sekolah Melayu Sungai Manggis pula ditubuhkan.
Cadangan Pembinaan Sekolah Melayu Tanjung 12 pada tahun 1897




                
     

Pengambilan untuk jawatan Guru Sementara untuk mengajar di Sekolah Lanjutan Kampung di Sungai Manggis dalam tahun 1961 dan 1962

                        
Tender Pembinaan satu Blok Bangunan Sekolah Kebangsaan Sungai Manggis pada tahun 1978 dan Pembinaan Sekolah Agama Baharu di Bukit Changgang pada Mei 1974 dikeluarkan oleh Pejabat JKR Kula Langat.

8.  MUKIM TELOK PANGLIMA GARANG

Sekolah Melayu Telok Panglima Garang merupakan antara sekolah tertua di daerah Kuala Langat. Pada 15 Jun 1892, satu pelan cadangan untuk mendirikan sekolah di sini telah dihantar  oleh State Engineer/ Jurutera Negeri ke Pejabat Residen. Pelan serta spesifikasi bangunan sekolah ini serupa dengan sekolah di Kapar dan peruntukan yang sama diberikan.

Sekolah Kebangsaan Telok Panglima Garang dibina pada tahun 1900 dengan 23 murid. Pada tahun 1975 sebuah bangunan dua tingkat didirikan (Blok A). Pada tahun 1989 sebuah bangunan dua tingkat didirikan (Blok B). Pada tahun 1994 sebuah lagi bangunan didirikan (Blok C). Pada tahun 2003 sebuah bangunan dua tingkat didirikan (Blok D). Pada tahun 2004 telah ada empat buah bangunan di SK Telok Panglima Garang. Walaupun begitu, bilik darjah masih tidak mencukupi. Bangunan Sekolah Rendah Agama terpaksa dirobohkan bagi memberi laluan untuk pembinaan bangunan tambahan. Hanya sebuah blok bangunan yang tidak dirobohkan dan menjadi Dewan Peperiksaan (Blok E). Pada tahun 2009 sebuah bangunan baru empat tingkat siap dibina bagi menggantikan bangunan Sek. Ren Agama yang telah uzur (Blok F).Beberapa orang guru, seperti Musa bin (?), Encik Lambak bin Musa, Encik Abdullah bin Salleh, Encik Muhammad bin Salleh, Encik Abd. Hamid bin Daud,Encik Baba bin Bachik, Encik Mohammad bin Jalil, Che Sanid bin Haji Taib pernah bertugas di sekolah ini.

Sekolah Melayu Sijangkang pula telah dibina dalam tahun 1926 dan diperbesarkan lagi tiga tahun kemudian, iaitu dalam tahun 1930 dan seterusnya dalam tahun 1950. Terdapat sebuah sekolah Cina Teong Theng di Sijangkang pada tahun 1945.


Cadangan Pembinaan Sekolah Melayu Telok Panglima Garang mula dirancang dalam tahun 1892

Tender Pembinaan Sekolah Melayu Telok Panglima Garang telah dikeluarkan dalam bulan Julai 1892






Tender pembinaan Sekolah Kebangsaan Kebun Baharu dalam tahun 1969 serta pembinaan bangunan tambahan dua tingkat pada tahun 1980.





Dari Sisi Gelap Klang Bandar Diraja ......Bahana Pelacuran

Salam buat semua, peminat  serta pembaca  blog Atok ini. Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin. Kita masih dalam mode Raya, meraikan sauda...