Aku Budak Telok..... Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat tumpah darahku...Berbagai pengalaman hidup, asam garam pahit manis kehidupan aku lalui di sini..Mana mungkin aku melupakanmu, duhai kampungku, Telok Panglima Garang...Kau tetap di hatiku
Selasa, 8 Februari 2022
Jumaat, 4 Februari 2022
Penyakit Misteri dari Istana Jugra: Kisah Raja Kahar
Salam buat semua. Teruja sungguh Atok dan Wan kerana dapat bersama-sama korang, peminat setia blog Atok ini setelah sekian lama tidak berhubung. Atok akui memang rindukan korang, tetapi apa kan daya Kesihatan Atok agak menurun sedikit. Atok tak sedap badan kerana slip disc yang Atok alami. Atok cuba berurut dan berubat dengan beberapa orang. Barulah lega kini. Rupanya badan Atok penuh angin medu yang menyebabkan Atok tak selesa. Alhamdulillah kini.
Oklah. Entri Atok kali ini ada kaitannya dengan sakit pening. Atok dapat satu soalan cepumas daripada seorang peminat blog ini yang bertanyakan:
Assalamualaikum Boleh tuan dapatkan info tentang ada satu masa pernah Sultan Abdul Samad terkena satu penyakit yg lama tak sembuh, kemudian ada seorang lelaki dapat mengubatnya sampai sembuh. Boleh tak dapatkan info tentang tu?
Atok tertarik dengan soalan tersebut kerana tak pernah pulak Atok dengar tentang Sultan Abdul Samad pernah mengalami penyakit berat yang berpanjangan. Atok cuba selongkar dalam arkib lama tentang taraf kesihatan almarhum sultan. Betul, baginda mula gering pada tahun 1896 dan kesihatannya menurun sehinggalah ke hari kematian baginda pada tahun 1898. Tapi sebab kematian baginda tercatat sebagai sakit tua, bukanlah akibat penyakit ganjil. Mesti ada angin sebab itu pokok bergoyang. Atok tak puas hati. Atok korek-korek berita lama, akhirnya Atok dapat tahu bukan baginda Sultan Abdul Samad yang terkena penyakit misteri itu tetapi anakanda baginda yang kedua bernama Raja Kahar atau Raja Tahir. Tapi sebelum Atok bercerita dengan panjang lebar, ada baiknya korang kenal siapa Raja Kahar ini. Begini ceritanya....
Almarhum Y.A.M. Tunku 'Abdul Kahar [Tahir] ibni al-Marhum Sultan Sir Abdul Samad Shah |
Y.A.M. Tunku 'Abdul Kahar [Tahir] ibni al-Marhum Sultan Sir Abdul Samad Shah merupakan putera kepada Paduka Sri Sultan Sir Abdul Samad Shah Ibni Tengku Abdullah, Sultan Selangor ke-4 (1857-1898) dan Raja Atfah Sultan Muhammed Shah.
Beliau adalah adinda kepada [DYTM] Raja Muda Musa ibni Sultan Abdul Samad (1844-1884).
Raja Kahar juga adalah kekanda kepada Raja Yaakob Sultan Abdul Samad (mangkat pada tahun 1875); Raja Muntih Sultan Abd Samad; Raja Yunus Sultan Abd Samad; Raja Leba dan 2 orang yang lain. Beliau juga abang kepada Raja Ibnu Shah (mangkat pada tahun 1881); Raja Munah; Raja Tipah,; Raja Daud dan Raja Mahmud.
Kenal tak beliau? Memang pun! Nama beliau tidak popular dalam kalangan kerabat dan pemimpin penjajah. Bahkan pihak media Inggeris ketika itu yang berpusat di Singapura memberi imej buruk terhadap beliau sebagai lanun dan bersifat anti-British. Tambahan pula beliau adalah antara putera-putera raja yang marah terhadap Tengku Kudin yang dilihat sebagai pro Inggeris. Namun apakan daya, Tengku Kudin diberi kuasa penuh oleh Sultan Abdul Samad untuk berurusan dengan British demi mengamankan Selangor yang lemah dan huru-hara akibat Perang Klang.
Pada tahun 1868, Sultan Abdul Samad telah melantik Tengku Kudin sebagai wakil baginda dengan gelaran Wakil Yamtuan bagi menjalankan pentadbiran pemerintahan di seluruh negeri Selangor. Surat kuasa perlantikan Tengku Kudin telah dikurniakan dalam suatu istiadat yang dijalalankan pada 26hb Jun 1868. Setelah pelantikan tersebut, Sultan Abdul Samad telah memberikan Langat kepada Tengku Kudin. Tindakan baginda ini tidak dipersetujui oleh putera baginda yang bernama Raja Musa, Raja Kahar dan Raja Yaakub yang dikenali juga dengan nama Tengku Alang. Raja Mahadi juga tidak bersetuju dengan tindakan baginda memberikan Langat kepada Tengku Kudin. Disebabkan penentangan tersebut, Tengku Kudin telah balik ke Kedah untuk mengumpulkan orang-orangnya untuk dibawa ke Selangor.
Dalam pertengahan tahun 1872 itu juga, pasukan orang Melayu yang memihak kepada Raja Mahadi, iaitu pasukan yang diketuai oleh Saiyid Mashhor, Raja Asal, Sultan Puasa, Raja Kahar, Raja Laut, Raja Mahmud dan pasukan yang dibawa oleh Raja Mahadi sendiri, telah bersatu dekat Kuala Lumpur lalu mengepung pihak Kapitan Yap Ah Loy dan pasukan pihak Tengku Kudin yang ada di Kuala Lumpur.
Pada 22 Disember 1873, Tengku Kudin telah menulis surat kepada Gabenor Negeri-negeri Selat meminta seorang Residen bagi Kelang dan Selangor.
Bermula 1877 Sultan Abdul Samad membentuk Majlis Mesyuarat Negeri yang ditubuhkan berdasarkan kaedah barat dan mengikut panduan Residen Inggeris (Bloomfield Douglas). Pentadbiran sebelum ini dibahagikan kepada kerabat- kerabat diraja tanpa memperlihatkan wujudnya satu kuasa pusat yang nyata. Yang Di Pertua Majlis Mesyuarat Negeri yang pertama ialah Tunku Kudin dan beberapa ahli:
Kapten Bloomfield Douglas, Raja Kahar, Putera Sultan Abdul Samad (Raja yang menjaga Kajang), Raja Berkat Tengku Panglima Raja (Raja yang menjaga Kanchong), James Innes (Pemungut cukai tanah dan Majistret Langat), Tauke Yap Ah Loy (Kapitan Cina di Kuala Lumpur), Saiyid Zain (Wakil dan Pengurus Kebun-kebun Tengku Kudin).
Sebelum campurtangan Inggeris itu kerap berlaku kezaliman dan kekejaman kerabat diraja terhadap rakyat menerusi amalan 'Hamba Tebusan' yang dilakukan sesuka hati oleh anak-anak raja dan orang-orang besar yang sering memeras cukai di daerah mereka.
‘In Selangor...the raja had rights over unused land and could exact forced labour or drive men and their families into debt bondage. The well-being, even the life, of the commoner was in the hands of the raja.’
Nota: Sengaja Atok tidak menyebut nama-nama yang terlibat kerana aku teringat pesanan alim ulama agar tidak mengenang seseorang, baik ketika hidupnya mahu pun setelah matinya kecuali hal-hal kebaikan, kerana baginya bahagian daripada apa yang telah dikerjakannya di dunia ini, sama ada dosa mahu pun pahala.
Raja Kahar pernah dilantik menjadi Megistret dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri, MSC dari tahun 1876-1898.
Raja Kahar yang dilahirkan sekitar 1840-50an pernah menjadi Penghulu di Kajang, Hulu Langat pada tahun 1875. Tetapi Raja Kahar dikatakan tidak mempunyai rumah di kawasan ini, dan tidak pernah membuat lawatan sejak setahun setengah setelah dilantik..
Raja Kahar has not even a house here; & any Rajas or Penghulus stopping in the village have to put up in the shops. - J.A.G. Campbell, Collector & Magistrate, Ulu Langat.
Pada bulan Mac, 1880 pemerintahan Negeri Selangor telah berpindah dari Klang ke Kuala Lumpur. Perpindahan ini juga menyaksikan kuasa pentadbiran pembesar-pembesar Melayu diambil alih oleh pegawai-pegawai Inggeris khasnya Residen Inggeris di Selangor. Pelantikan “Che Man” sebagai Penghulu Kajang & Reko, oleh Residen Selangor, melalui cap kuasa Sultan Selangor. Che Man disebut sebagai seorang “anak negeri” yang disukai “orang dagang” dan masyarakat umumnya. Beliau juga dikatakan rakan rapat Raja Kahar.
12/08/1886: Perlantikan beliau telah dicadangkan oleh J.A.G. Campbell (Majistret daerah Ulu Langat), atas dasar beliau sebagai anak negeri serta sahabat baik Raja Kahar:
27/11/1886: Cadangan perlantikan telah dipersetujui oleh ahli majlis negeri Selangor:
Maka bermula 1 Januari 1887, dengan gaji bulanan sebanyak $15.00, Che Man seterusnya menjadi penghulu Kajang & Rekoh selama sekurang-kurangnya 6 tahun, berdasarkan beberapa rekod urusan beliau sehingga tahun 1892. Sebagai anakanda kedua Sultan, Raja Kahar menjadi orang harapan ayahandanya. Beliau memang rapat dengan almarhum sultan. Rumah beliau tak jauh dari istana baginda di Jugra. Setiap tanggungjawab yang diberikan, beliau galas sebaik-baiknya. Beliau senantiasa menemani ayahanda AlSultan, sama ada dalam menjalankan tugas-tugas rasmi negeri, mahupun ketika di Jugra.
Sultan Abdul Samad dengan putera Baginda, Raja Kahar, mengusahakan tanaman buah-buahan di Jugra. Baginda juga menanam pelbagai tanaman lain seperti tebu, padi, kelapa dan pinang di atas 1,000 ekar tanah. Baginda memberi pinjaman kewangan kepada pesawah padi bagi membolehkan mereka memulakan perusahaan.
Raja Kahar pernah mewakili Sultan Abdul Samad dalam perbicaraan terhadap Undang Rembau di Singapura. Pada tahun 1891, Raja Kahar menjalankan tanggungjawab dan amanahnya, mengahwinkan anak saudara beliau, Raja Muda Alaudin Sulaiman Syah dengan Tengku Maharum, puteri Tengku Kudin di Klang. Durbar yang pertama dijadual diadakan pada penghujung tahun 1896 tetapi terpaksa ditunda kerana Sultan Abdul Samad (Selangor) jatuh gering dan Raja Kahar mewakili ayahandanya ke mesyuarat diadakan di Kuala Kangsar pada 13 Julai 1897. Baginda Sultan Abdul Samad telah mangkat pada pukul 11.00 pagi, 6hb. Februari 1898 pada usia 93 tahun, setelah memerintah selama 41 tahun.
Almarhum Sultan Abdul Samad serta Orang-orang Kanan Baginda |
Begitu setia, taat dan patuh beliau terhadap ayahanda, Sultan Abdul Samad. Namun, di sebalik imej putra Raja yang bersifat negarawan, Raja Kahar mempunyai sisi gelapnya. Beliau dikatakan mengalami penyakit misteri sejak sekian lama. Dalam tahun 1898, beliau dikatakan sering menderita akibat kesakitan yang melampau di bahagian kepala. Begitu sakit rasanya sehingga beliau merayu perawat-perawat atau bomoh membelah kepala untuk mengeluarkan 'hantu-hantu syaitan' yang melekap di belakang tengkorak kepalanya. Beliau tidak mahu makan sehingga badan menjadi kurus kering. Berbagai-bagai kaedah rawatan termasuk menyembelih kerbau balar (albino) dan mengalin tetapi tidak juga berjaya. Akhirnya, setelah dibekam di bahagian belakang kepalanya itu, beliau kembali sihat. Dikatakan tujuh ekor jembalang berupa serangga mentadak telah berjaya dikeluarkan. Walaupun begitu, beliau rasakan masih ada gangguan makhluk halus di kepala beliau. Namun, dua tahun kemudian, pada sekitar tahun 1900, beliau meninggal dunia.
Keratan Akhbar yang secara sinis melaporkan penyakit ganjil Raja Kahar |
Allahyarham Raja Adam bin Raja Wok bin Raja Kahar bin Sultan Abdul Samad |
Isnin, 20 Disember 2021
Sabtu, 27 November 2021
Leftenan Adnan dalam Sejarah Rejimen Askar Melayu DiRaja.
Salam buat semua. Hari ini Atok bangkit-bangkit tidur jer, selepas solat dan wirid, terus buka laptop. Bukannya apa, bersemangat sungguh p...
-
Salam buat semua. Hari itu aku balik kejap kat Telok. Jumpa keluarga time cuti sekolah ni..Aku pun jalan-jalan tengok rumah saudara yang ba...
-
Salam buat semua. Hari ini Jumaat 2 Mei 2014. Jam dekat tangan aku menunjukkan pukul 11:35 pagi. Ya, memang hari ini hari persekolahan . Su...
-
Salam buat semua. Hari ini Jumaat. Cuti sekolah semester satu. Aku tak ke mana-mana hari ini. Sakit pinggang, Terasa benar sakitnya. Mungk...
-
Assalamualaikum... Salam Jumaat. Salam buat semua sahabat,rakan dan pembaca sekalian.Maaf dah lama tak turun padang..bukan nak bersenam, mai...
-
Salam buat semua. Wah, semua nampak sihat-sihat jer.Alhamdulillah. Pertama-tama marilah kita panjatkan rasa kesyukuran kita kita ke hadrat A...
-
Salam buat semua. Kepada yang baru datang melawat Ahlan Wa Sahlan. Arigato mas. Selamat Datang. Sihat semuanya? Alhamdulillah. Semoga Alla...
-
Salam buat semua. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana masih memberi peluang buat kita semua memohon keampunanNya, mengharapkan bela...
-
Sejarah pendidikan di Telok sememangnya panjang. Bermula dengan pendidikan fardhu ain tak formal di rumah tok-tok guru ketika mengaji alq...
-
Salam buat kengkawan semua. Apa khabar waris (warigh, kata orang Nogori Sembilan)? Moga-moga sihat semua.. Sebut pasal warigh, teringat...
-
Salam buat semua pembaca blog aku ini. Terima kasih ler kerana sudi menjenguk kat sini. Blog aku ini ,pada mulanya ketika aku mula menulis,...